Berita

Siti Nurhaliza buka sekolah di Gaza, sasar RM1 juta untuk amal

- Diterbit 22 Julai 2022 1:00 AM MYT

PENYANYI nombor satu negara , Datuk Seri Siti Nurhaliza membuka sekolah pendidikan awal kanak-kanak diberi nama Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin, hampir setahun lalu.

Menurut pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin,43, sekolah yang ditubuhkan menerusi Yayasan Nurjiwa bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu kini diuruskan oleh sahabat mereka yang juga orang tempatan di sana.

“Alhamdulillah, setiap bulan saya dan suami secara peribadi serta Yayasan Nurjiwa membuat sumbangan untuk keperluan sekolah itu.

“Kita nak berterusan dan semuanya daripada kami. Kalau ada rezeki lebih, contoh setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan, agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang sudah ada hampir 50 pelajar.

“Buat masa sekarang, sekolah itu diuruskan oleh sahabat baik kami di sana.

“Dia akan mengemaskini apa saja aktiviti pelajar di sana, seperti pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan, malah ketika hari jadi saya dan kedua-dua anak, mereka mengadakan doa selamat di sana.

“Sekolah ini sudah hampir setahun beroperasi. Setakat ini kami menyewa tempat dulu termasuk tenaga pengajar pun kita yang bayar.

“Setiap bulan memang diperuntukkan RM10,000, kadang-kadang lebih dari itu, sebab ada nak beli buku dan sebagainya. Tapi amaun itu memang tetap,” katanya.

Terdahulu Siti ditemui pada Sidang Media Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert ini adalah persembahan amal bagi mengutip dana yang akan disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa.

“Sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam (5 dan 6 November), semua untuk Yayasan Nurjiwa.

“Tapi kalau orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tak ada masalah, kita terbuka.

“Sebab sekarang pun kita masih kutip dana di bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan Covid-19 dengan kerjasama Kita Fund.

“Dana daripada yayasan ini bukan khusus untuk sekolah Afwa & Aafiyah saja, tapi kita bantu juga rakyat Malaysia, mana yang terkesan dengan banjir, COVID-19 dan yang nak membina masjid.

Antara persembahan amal yang pernah dijayakan Siti bagi disalurkan ke Yayasan Nurjiwa adalah Konsert Satu Dato’ Siti Nurhaliza (2009) dan Dato’ Siti Nurhaliza Live In KLCC: Where The Heart Is (2014).

Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza bakal diadakan pada 5 dan 6 November depan di Dewan Planery, KLCC. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas