Berita

Sistem PADU henti ketirisan, bantu subsidi lebih berkesan

ANWAR pada Majlis Peluncuran Sistem PADU (Pangkalan Data Utama) di Pusat Konvensyen antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam
- Diterbit 3 Januari 2024 3:32 PM MYT

PELAKSANAAN sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menghentikan ketirisan dana kerajaan serta memastikan hak dan bantuan subsidi yang lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selama ini kerajaan membelanjakan sekitar RM22 bilion untuk membantu rakyat miskin dan mereka yang memerlukan khususnya di desa dan pedalaman.

“Walaubagaimanapun, semua kajian menunjukkan tidak semua peruntukan sampai kepada golongan sasar kerana wujud pelbagai ketirisan.

“Bahkan subsidi yang kini berjumlah hampir RM80 bilion yang sepatutnya hanya dinikmati orang-orang susah, turut dinikmati 3.5 juta warga asing dan golongan mahakaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anwar, tidak mungkin wujud miskin tegar dalam negara sekiranya perbelanjaan berjumlah RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion itu semuanya sampai kepada golongan miskin dan orang-orang susah.

“Oleh kerana itu saya tidak sanggup untuk membiarkan ketirisan dana kerajaan ini berterusan atau membenarkan hak orang-orang susah dirampas golongan kaya dan berkemampuan.

“Justeru, PADU dilancarkan dengan tujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran ini bagi memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi yang berkesan,” ujarnya.

Pendaftaran PADU dibuka secara langsung bermula semalam sehingga 31 Mac depan bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU https://padu.gov.my/. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas