Berita

Siri persahabatan di Australia uji tahap permainan pantas Malaysian Tigers

MEMPERSIAPKAN pasukan ‘Malaysian Tigers’ mengharungi kempen Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta, Indonesia dari 23 Mei hingga 1 Jun. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 14 April 2022 8:57 AM MYT

LIMA perlawanan persahabatan bakal ditempuh skuad hoki lelaki kebangsaan menentang Australia di Perth dari 21 hingga 28 April ini, dapat menguji tahap keupayaan pemain untuk mengadaptasi atau menyaingi corak permainan pantas pasukan nombor satu dunia itu.

Ketua jurulatih hoki kebangsaan A. Arul Selvaraj berkata keputusan mengatur siri persahabatan bersama skuad ‘Kookaburras’ itu juga amat tepat bagi mempersiapkan pasukan ‘Malaysian Tigers’ mengharungi kempen Kejohanan Hoki Piala Asia di Jakarta, Indonesia dari 23 Mei hingga 1 Jun.

“Saya mahu lihat Australia menguji pemain kita dari segi mentaliti bermain laju sebab pemain kita laju di kaki tapi pasukan Australia paling pantas di ‘kepala’.

“So, kita nak mereka uji pemain kita supaya dapat berfikir serta buat keputusan secara pantas ketika beraksi di padang, itu misi utama (siri persahabatan di Australia),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pada majlis berbuka puasa bersama skuad hoki kebangsaan anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj berkata siri persahabatan di Australia juga akan dijadikan platform untuk membantu pemain menyesuaikan diri dengan jadual padat Kejohanan Hoki Piala Asia selepas mereka bakal turun beraksi sebanyak lima kali dalam masa seminggu di Perth.

Jelasnya, ini kerana Malaysia boleh beraksi sehingga tujuh perlawanan dalam masa 10 hari sekiranya mara lebih jauh dalam kejohanan di Indonesia itu.

Beliau juga memaklumkan skuad negara yang sepatutnya berlepas ke Australia hari ini terpaksa menangguh seketika perjalanan mereka selepas berdepan masalah visa dan berharap agar ia selesai dalam tempoh dua hari lagi.

Ditanya mengenai cabaran dilontarkan Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal yang mewajibkan skuad kebangsaan layak ke separuh akhir di Jakarta, Arul Selvaraj tidak merasakan ia satu tekanan kerana hakikatnya skuad kebangsaan perlu berada dalam kelompok empat terbaik bagi menjamin slot automatik ke Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki di India, Januari tahun depan.

“Sudah tentu nak ke Piala Dunia jadi saya rasa pemain tahu situasi itu kena berakhir empat teratas, saya fikir ia bukannya tekanan tetapi fakta kerana anda perlu berada di empat teratas untuk layak…jadi saya rasa sasaran ini normal kerana tugas saya pun untuk memastikan pemain saya menang dalam setiap perlawanan,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas