TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai Ketua Pengarah jabatan itu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan tersebut satu usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam.
“Ia seiring dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan memperkukuh JAKIM sebagai Jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.
“Sirajuddin dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 2 Januari 1992 sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Selangor. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan juga sebagai Setiausaha Pertama (Halal), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.
“Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer), University of South Australia (UniSA),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau kerajaan juga telah bersetuju melantik Hakimah Mohd Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang melibatkan koordinasi antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.
“Pelantikan ini adalah bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan JAKIM sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di persada global,” ujarnya. – WILAYAHKU