SANTAI sambil menyaksikan pelbagai persembahan menarik adalah antara pengisian Program Singgah Seni yang bertempat di Anjung Floria, Presint 4 pada setiap Sabtu.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program berteraskan persembahan seni dan budaya itu mengetengahkan konsep santai dan sesuai untuk seisi keluarga.
“Objektif penganjuran Program Singgah Seni ini adalah untuk mempelbagai dan menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan.
“Usaha berterusan PPj dalam mempelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan adalah bertujuan untuk menceriakan waktu malam di Putrajaya dengan aktiviti sihat yang berunsur kekeluargaan bagi merapatkan ukhuwah dalam kalangan komuniti Putrajaya dan kawasan sekitar,” ujar beliau.
Fadlun berkata edisi penganjuran kali kedua pada tahun 2024 ini membawakan tema kenegaraan dan bulan kemerdekaan bersempena bulan Ogos ini.
“Ia diwarnai dengan persembahan kesenian dan kebudayaan yang lebih santai dan sesuai untuk seisi keluarga dalam usaha menggalakkan program-program berbentuk kesenian di Putrajaya,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata ianya turut dapat mempromosi Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui muzik, tarian-tarian tradisional Malaysia dan aktiviti seni budaya Malaysia secara amnya.
“Selain itu, program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan PPj sebagai pentadbir kawasan Putrajaya melalui muzik, tarian dan aktiviti seni juga budaya,” ujarnya.
Singgah Seni merupakan program dianjurkan oleh pihak PPj yang diadakan pada setiap Sabtu bermula pukul 9 sehingga 11 malam.
Teras pengisian program tersebut adalah persembahan pentas oleh selebriti tanah air iaitu Baggio (Damasutra) dan Eira Milpan diiringi kombo PPj yang tidak asing lagi iaitu Precinctnotes.
Lebih menarik, turut ditampilkan demonstrasi persembahan seni mempertahankan diri (silat dan silambam) serta penerangan tentang busana Melayu.
Di samping itu, pelbagai program sisipan bakal menceriakan edisi pada kali ini antaranya beca berlampu, jualan barangan kering, makanan dan minuman serta car boot sale. – WILAYAHKU