JABATAN Imigresen mengesahkan pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah hadir ke ibu pejabat jabatan itu bagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawainya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya merujuk laporan media berkaitan siasatan oleh EAIC ke atas beberapa orang pegawai Imigresen kerana disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing.
“Pihak jabatan menyerahkan kepada EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
“Dalam hal integriti, kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku. Tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau memberitahu, pihaknya memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama jabatan iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi jabatan agar kembali dihormati dan disegani.
Katanya, orang awam dialu-alukan untuk melaporkan salah laku pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Terdahulu sebuah portal media melaporkan, beberapa pegawai Imigresen sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing oleh EAIC.
Siasatan tersebut melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lepas melibatkan satu negeri sahaja dengan setiap ‘kepala’ dikenakan bayaran sekitar RM4,500. – WILAYAHKU