Berita

Sindiket seleweng minyak masak tumpas, lima warga asing dicekup

- Diterbit 12 Mac 2025 10:00 AM MYT

TAKTIK licik sindiket menyeleweng minyak masak bersubsidi terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis di Taman Semenyih Jaya, Selangor, semalam.

Dalam serbuan pukul 4 petang hasil risikan selama tiga bulan, pihak berkuasa menemui stor haram yang digunakan untuk memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki besar jenis intermediate bulk container (IBC), dipercayai untuk dijual kepada industri.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata serbuan menemui empat tangki IBC berisi minyak masak, selain plastik dan kotak bungkusan minyak masak paket 1kg yang telah dipotong.

“Sebanyak 4,168kg minyak masak serta pelbagai peralatan berkaitan kegiatan ini dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, seramai enam lelaki berusia lingkungan 30-an, termasuk lima warga asing, yang bekerja di premis terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi,” katanya.

Ujar Azman, sejak pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 pada Januari 2024 hingga Februari 2025, KPDN berjaya merampas 104,447kg minyak masak bernilai RM109,000 dalam 94 kes di seluruh negara.

“KPDN menegaskan pihaknya akan terus menggempur sindiket yang menyeleweng barang kawalan bersubsidi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN (eaduan.kpdn.gov.my), talian 1-800-886-800, atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas