Berita

Sindiket penipuan guna nama Ketua Polis Negara dalam dokumen palsu

- Diterbit 16 Januari 2025 5:59 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan mengenai tindakan licik sindiket penipuan yang mengeluarkan dokumen amaran palsu kepada mangsa, lengkap dengan Jata Negara serta logo Badan Peguam Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dokumen tersebut turut ditandatangani oleh penama yang hampir sama dengan Ketua Polis Negara.

Namun katanya, jawatan yang digunakan dilihat berbeza daripada penama tersebut.

“Satu laporan polis diterima pada 14 Januari lalu berkenaan dokumen berupa amaran bertajuk ‘Kebenaran’ yang dikeluarkan ‘Pejabat Pusat Memerangi Jenayah Berkaitan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi’.

“Kandungan dokumen tersebut memaklumkan bahawa penerimanya terlibat dalam beberapa prosiding undang-undang kerana memiliki imej pornografi kanak-kanak.

“Penerima dokumen itu juga dikehendaki menghubungi pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut dengan segera atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ramli memberitahu, semua perkara yang dinyatakan dalam dokumen itu merangkumi maklumat prosiding jenayah, jabatan yang digunakan serta nama penandatangan adalah palsu.

Katanya, dokumen sedemikian tidak dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan.

Jelas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

“Justeru adalah diingatkan kepada sesiapa yang telah menerima dokumen sedemikian sama ada secara fizikal, e-mel, mesej WhatsApp atau apa cara sekalipun, sila abaikan dan jangan beri sebarang respons kepada penghantarnya.

“Ini kerana kandungan dokumen tersebut adalah palsu,” tegas beliau.

Katanya, polis percaya dokumen tersebut telah dicipta dengan tujuan untuk menimbulkan kebimbangan kepada penerima dan seterusnya menjerat mereka menjadi mangsa penipuan atau pemerasan.

Beliau menambah, pihaknya juga menggesa mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa akibat mempercayai kandungan dokumen tersebut agar tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas