SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan suspek utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
Menurut sumber, sebelum ini suspek telah ditahan oleh SPRM Negeri Sembilan pada Rabu lalu dan direman pada Khamis sehingga 23 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sivil Seremban.
“Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ini dipercayai bersekongkol dengan ejen-ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba menerusi Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Suspek dibawa ke Pejabat SPRM Selangor bagi membantu siasatan kes yang turut disiasat oleh SPRM Selangor,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau memberitahu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok untuk tujuan permohonan reman.
SPRM sebelum ini menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan jabatan tertentu sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi berkenaan.
Masalah utama adalah disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai terlibat mudah didekati oleh ejen sindiket. – WILAYAHKU