WK2

Sinar harapan buat ‘anak syurga’

PPDK Sinar@9 ditubuhkan pada 29 Januari 2018 dan mempunyai seramai 28 orang pelatih.
- Diterbit 4 Mac 2022 6:53 AM MYT

PERTUBUHAN Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) atau ‘Community-Based Rehabilitation’ (CBR) merupakan salah satu program latihan yang ditawarkan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial orang kurang upaya (OKU).

Tujuan utama penubuhan PPDK Sinar@9 adalah menyediakan kelas dan pusat latihan asas dari segi pergerakan, pertuturan, pendidikan khas dan kemahiran dalam aktiviti kehidupan harian.

Menurut Pengerusi PPDK Sinar@9, Roslan Hussin, PPDK dilaksanakan melalui penglibatan aktif OKU, keluarga dan masyarakat setempat dan disokong oleh perkhidmatan kesihatan, vokasional dan sosial serta menggunakan sumber tempatan.

ROSLAN HUSSIN

“PPDK Sinar@9 menempatkan pelatih berusia dua sehingga 18 tahun dan antara jenis kecacatan yang berdaftar adalah seperti diagnosis Autism, Cerebral Palsy, Syndrome Down dan Global Development Delay (GDD).

“Di sini kita mempunyai seramai 28 orang pelatih, enam orang petugas dan seorang penyelia sejak ia ditubuhkan pada 29 Januari 2018. Kami telah beroperasi sepenuhnya pada 1 Jun 2018 dengan pendaftaran seramai 17 orang pelatih berumur tiga hingga 16 tahun.

“Pendaftaran mula meningkat kepada 23 orang pelatih pada tahun 2019, tahun 2020 seramai 24 orang manakala tahun 2021 meningkat lagi kepada 26 orang dan tahun 2022 sebanyak 28 orang. Pelatih ini bersilih ganti pada setiap tahun ke Sekolah Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi yang berkelayakan,” katanya.

Ujar Roslan, mereka mempunyai routine board, Rhythmic Movement Training (RMT), brushing untuk individu dan berkumpulan di samping menjalankan program Picture Exchange Communication System (PECS) iaitu sistem bergambar sebagai kaedah pembelajaran dan komunikasi pelatih.

“Bermula pukul 8:30 pagi, setiap pelatih perlu mengikut jadual rancangan pembelajaran individu yang telah ditetapkan kerana seperti yang kita tahu anak-anak yang menghidap autism ini tidak bercampur dengan orang, tetapi di PPDK Sinar@9 kami dedahkan mereka dengan aktiviti berkumpulan supaya mereka bergaul sesama sendiri agar tiada sebarang masalah yang berlaku apabila mereka berada di luar nanti.

“Bukan itu sahaja, untuk anak yang menghidap cerebral palsy, kami turut mengadakan aktiviti terapi khusus iaitu terapi psikologi manakala pelatih yang lain kita akan buat RMT untuk merangsang otak mereka,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Isnin.

MUHAMMAD HAFIY ANAQI

Jelas Roslan, kekurangan itu bukan penghalang buat anak syndrome down kerana mereka mampu berdikari dengan menjalani rutin harian seperti orang lain.

“Untuk anak autism, pihak kami sendiri kena bimbing mereka sebagai contoh sebaik sahaja tiba di sini, mereka perlu duduk di ruangan menunggu sambil menonton televisyen dan melakukan RMT seterusnya melakukan brushing sementara menunggu untuk aktiviti berkumpulan sebelum diambil bagi sesi terapi,” katanya yang turut memberitahu pada peringkat awal ia memang susah, tetapi asbab latihan yang diberikan, mereka berjaya melaksanakan aktiviti harian dengan sistematik.

ELAUN SETIAP BULAN

SELAIN itu, Roslan memaklumkan pihaknya turut membuat penilaian secara berkala untuk mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa sejak tarikh pertama mereka menghantar anak mereka ke PPDK Sinar@9.

“Syukur alhamdulillah, kebanyakan maklum balas yang diterima adalah positif. Walaupun sedikit perubahan, kami sudah berasa teruja apatah lagi keluarga terutama ibu bapa anak-anak istimewa ini sendiri. Ada dalam kalangan mereka yang dahulunya terlantar sudah boleh bercakap, bermain dan berlari.

“Sebelum ini, kami akan membawa anak-anak melakukan aktiviti luar seperti berenang, memanjat batu dan berkuda supaya mereka lebih terdedah dengan masyarakat dan persekitaran di luar.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pergerakan serta aktiviti mereka terbatas. Kami sudah membuat takwim bagi program akan datang tetapi masih menunggu tentatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya yang turut bekerjasama untuk Program Gigi-Gigiku Sihat sebanyak sebulan sekali bersama KKM.

Dalam pada itu, Roslan memberitahu baru-baru ini, PPDK Sinar@9 terlibat dengan Program Semarak Kasih Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 bersama Pelajar Pemulihan Dalam Komuniti Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Mengulas lanjut, Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 9A ini memaklumkan pelatih tidak dikenakan sebarang yuran sekolah malahan pihak kerajaan akan memberikan elaun khas OKU untuk para pelatih yang mengikuti program bagi membantu meringankan beban sepanjang latihan dijalankan.

“Elaun diberikan kepada pelatih adalah sebanyak RM150 sebulan bagi pelatih yang mengikuti program di pusat dan RM50 sebulan pula bagi pelatih yang mengikuti program di rumah,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas