Berita

Simposium Kebangsaan 2024 platform kongsi pandangan basmi kemiskinan

- Diterbit 30 September 2024 1:33 PM MYT

SIMPOSIUM Kebangsaan 2024 merupakan satu platform untuk berkongsi pandangan, kepakaran dan pengalaman bagi memperhebat usaha kerajaan membasmi kemiskinan dengan lebih berkesan di seluruh negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata semua pihak sedia maklum azam kerajaan hari ini dalam membasmi kemiskinan.

“Simposium pada hari ini mengetengahkan perbincangan mengenai beberapa isu utama seperti konsep dan pendekatan menoktah kemiskinan, keperluan pembiayaan dan keberkesanan tatakelola bagi mencari solusi terbaik yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Ini melibatkan empat sesi diskusi dengan membariskan tokoh dan pakar daripada sektor kerajaan, swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurut Rafizi, perbincangan dan diskusi hari ini penting dalam menilai kaedah sedia ada dan merangka hala tuju usaha pembasmian kemiskinan.

Beliau percaya dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan akan memperluas perbincangan dalam membentuk kefahaman yang tepat dan mencari kaedah penyelesaian yang efektif dan inovatif.

“Simposium ini dengan tema Bersama, Berdaya dan Mampan menterjemah enam rukun Madani, khususnya yang memfokuskan kepada usaha menoktah kemiskinan.

” ‘Bersama’ merujuk kepada pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach sebagai asas penting dalam usaha membawa kemajuan dalam pelbagai aspek.

” ‘Berdaya’ adalah berkait dengan usaha untuk memastikan kemampuan atau keupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu dengan baik atau mencapai sesuatu matlamat.

” ‘Mampan’ dikaitkan dengan pelaksanaan usaha dan pencapaian secara berterusan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas