Selebriti

Simpanan bantu survival Man Kajang di era COVID-19

|MAN Kajang dinobatkan sebagai pemenang The Best Classic Wedding Designer anjuran Pesona Pengantin.|
- Diterbit 21 Februari 2022 1:50 AM MYT

PENGUSAHA butik fesyen dan perkahwinan, Man Kajang mengakui pandemik COVID-19 yang menyerang dunia sejak dua tahun lalu membuka 1001 hikmah.

Selepas 35 tahun mengukuhkan jenama termasuk membuka butik Man Kajang Bridal Boutique di Kajang, legasi dan survivalnya masih terus bertahan biarpun turun naik wabak pandemik itu tidak menentu.

Hingga kini sejak sektor ekonomi dibuka dan dibenarkan operasi, permintaan dan kepercayaan pelanggan sedia ada mahupun baru terus utuh menyokong perniagaan lelaki bujang berusia 55 tahun itu.

“Ada satu tahap saya akui macam orang lain juga yang rasa risau dan sedih dengan ujian melanda seluruh dunia ini. Sesuatu yang tak diduga, namun itulah lumrah hidup.
Tapi saya bersyukur konsep sediakan payung sebelum hujan memberi rahmat tersendiri.

“Saya masih mampukan gaji tiga staf, kos operasi dan sewa butik. Saya utamakan staf kerana mereka tulang belakang jenama saya. Simpanan itu paling penting, berbelanja ikut ukur di badan sendiri. Saya tidak boros sangat, beli pun ikut keperluan majlis atau keinginan terhadap jenama mewah kegemaran.

“Hingga kini konsep perniagaan saya paling utama berteraskan
tempahan ‘custom made’. Pelanggan tetap sentiasa percaya dan akan menempah untuk majlis tertentu,” katanya.

Ironinya, lelaki ini berasal dari Johor, namun dia mengangkat mukim dan bandar Kajang sebagai punca rezeki.

Hingga kini, jenama Man Kajang atau nama penuhnya, Othman Abdullah bukan asing. Ibarat jika di Kajang dikenali atau disebut dengan makanan sate, namanya juga sinonim menjadi pilihan ramai selebriti, golongan VIP dan ahli politik.

Terkenal dengan sentuhan klasik terutamanya selain kontemporari, anak kesembilan daripada 11 beradik itu bijak menjaga hati pelanggan dengan terus memberikan keselesaan dalam setiap jahitan dan potongan persalinan.

MAN Kajang dinobatkan sebagai pemenang The Best Classic Wedding Designer anjuran Pesona Pengantin.

Persalinan songket antara kegemarannya yang menjadi antara identiti lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan jahitan pakaian lelaki di Institut Kemahiran Mara, Jasin, Melaka itu.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah orang kenamaan, namun saya juga boleh mengikut bajet yang bakal pengantin ada. Lebih baik mengukur baju di badan sendiri. Sebagai pereka fesyen, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk ‘guide’ mereka memilih fabrik yang sesuai dengan tubuh. Itu paling penting!

“Saya sendiri bekerja dengan ikhlas untuk semua golongan tanpa mengira pangkat, kasta atau darjat. Pelanggan inilah nyawa kami. Tanpa mereka siapalah saya. Mungkin ada yang kenal saya dengan gaya cakap lepas atau bermulut ‘laser’, tapi niat saya ikhlas dan telus.

“Saya lebih realistik dalam hal ini. Saya tak boleh bersetuju atau amalkan konsep menurut dengan menyebut ‘yes’ untuk sesuatu yang tak sesuai dengan pemakai mahupun pelanggan.

“Tak semua boleh pakai material atau potongan itu ini mengikut saiz badan seseorang,” katanya.

 

Baru baru ini, buat kali pertama dia diumumkan sebagai pemenang The Best Classic Wedding Designer anjuran Pesona Pengantin.

“Ia itu memang anugerah pertama yang saya terima. Jujur saya tak kejar pangkat atau status ‘Datuk’ sekalipun. Tapi saya memang ‘kejar’ golongan Datuk kerana mereka antara pelanggan potensi saya yang sanggup melaburkan wang untuk isteri mereka (Datin) serta anak.

“Jujur tak sangka pembabitan saya lebih tiga dekad ini dengan mengangkat rekaan ‘kampung’ diperhati dan dihargai. Selepas diberi penilaian menerusi calon lain yang ada, saya yang terpilih,” katanya.

Untuk tempahan dan temu janji boleh ke Instagram @mankajang29. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas