Berita

Simbolik sejarah diplomatik 50 tahun

ANTARA koleksi pameran yang terdapat di Balai Seni Negara.
- Diterbit 2 Disember 2024 4:26 PM MYT

BERSEMPENA meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara mengadakan Pameran Batu Jed: Jejak Beribu Tahun Menuju Kemakmuran Yang Abadi.

Balai Seni Negara (BSN) dalam kenyataannya berkata, pameran tersebut dibawakan oleh Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia.

“Sebagai negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya serta memperkukuh hubungan budaya dan sejarah antara kedua-dua negara.

“Pameran ini merayakan keakraban hubungan Malaysia-China dengan menggabungkan warisan budaya, memupuk penghormatan mendalam terhadap seni tradisional serta menggambarkan keindahan dan keharmonian dalam pertukaran budaya yang telah terjalin,” katanya.

Tambahnya pameran ini menampilkan lebih 100 ukiran jed yang mana setiap satunya merupakan khazanah bernilai, dipilih melalui proses tapisan yang teliti daripada rumah lelong seperti Christie’s, Sotheby’s dan Bonhams.

“Selain itu, ia juga turut mempamerkan koleksi terkenal seperti Robert Hatfield Ellsworth dan Roger Keverne.

“Pameran ini memberi peluang kepada para pengunjung untuk menelusuri sejarah seni jed purba, bermula dari zaman prasejarah hingga Dinasti Ming dan Qing.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Kebudayaan Cina Malaysia kerana telah membina sebuah galeri seni baharu di BSN, menjadikannya galeri yang ke-8 serta memberi lambang kepada sejarah 50 tahun hubungan diplomatik ini.

“Orang ramai dijemput untuk melawat Pameran Batu Jed: Jejak Beribu Tahun Menuju Kemakmuran Yang Abadi yang berlangsung sehingga 23 Disember 2024 di Balai Seni Negara bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas