Biz

Sila bersabar Cef OKU ‘bersilat’ di dapur

- Diterbit 17 Mei 2024 2:00 PM MYT

IBARAT peribahasa ‘secupak takkan jadi segantang’ kehilangan sebelah mata bukan penghalang buat Mohamad Farid Mohamad Rasidi untuk memanfaatkan bakat memasak yang dimiliki bagi mencari nafkah menyara keluarga.

Bapa kepada empat orang cahaya mata yang lebih dikenali sebagai chef OKU mempertaruhkan beberapa menu masakan dari Maghribi dan Beijing di sebuah restoran yang diusahakan bersama isteri, Siti Nur Zawani Najlaa Abdul Hamid, 40.

Terletak di Kampung Semarang, restoran yang didaftarkan sebagai Dina Corner itu mula beroperasi pada tahun 2011 enam tahun selepas dia kehilangan sebelah deria penglihatan akibat kemalangan di tempat kerja.

Dengan hanya menggunakan sebelah mata yang diakui agak membataskan penglihatan, Mohamad Farid, 51, tidak kekok ‘bersilat’ di dapur bagi menyiapkan tempahan yang diterima daripada pelanggan setia.

Rata-rata pelanggan setianya sudah maklum dan memahami nota yang ditampal di restorannya iaitu ‘Sila bersabar, chef OKU’.

“Hanya yang boleh bersabar sahaja masih datang kedai saya. Pernah dulu masa baru-baru meniaga, saya hampir kena pukul dengan pelanggan kerana terlalu lama menunggu pesanan makanan.

“Sejak insiden itu, saya ambil iktibar dan memantapkan kecekapan memasak demi kepuasan pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sesekali ketika memasak Mohamad Farid akan berhenti seketika untuk menekup mata kirinya yang tidak berfungsi itu dengan tuala basah bagi memastikan deria berkenaan tidak terlalu lama terdedah kepada suhu panas dapur memasak.

“Mata saya yang buta ini sudah tidak ada harapan untuk sembuh sebab impak batu yang jatuh ketika saya sedang bekerja menyebabkan dinding di belakang soket mata rosak. Mata kanan saya pula tidak berapa okey, kalau perasan ia agak tersembul sebab saya disahkan menghidap tiroid pada 2014.

“Dugaan ini tak melemahkan saya. Siapa sangka daripada hobi mencuba masakan yang saya gemari ketika bertugas di luar negara kini jadi mata pencarian saya,” kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Berkongsi menu masakan air tangannya, Mohamad Farid berkata semua menu berasaskan nasi bukan nasi biasa sebaliknya nasi herba yang dimasak menggunakan beras wangi dan campuran beberapa jenis herba.

“Resepi ini dari Beijing. Saya sangat suka makan nasi herba, jadi saya cuba memasak selepas sering makan nasi herba ketika saya bertugas di Beijing.

“Yang seronoknya, bila saya sediakan nasi goreng atau nasi ayam guna nasi herba, pelanggan tidak merungut tetapi mereka suka kerana nasi ini wangi dan menyelerakan,” katanya yang bekerja dalam bidang kejuruteraan dan teknikal paip serta saliran di sebuah syarikat swasta.

Beliau berkata resipi nasi herba itu ‘menjadi’ setelah dua tahun mencuba memasaknya sehingga yakin dan berpuas hati dengan rasa juadah itu.

Antara 35 menu yang menjadi kegemaran pelanggan ialah ayam masak Beijing, ayam masak halia campur (gaya China), mi sizling ayam, mi tarik, mi suah dan sup claypot marmosa (resipi dari Maghribi).

“Menu di restoran saya ini bermula pada harga antara RM2 dan RM16. Harga ini sesuai dengan kawasan kampung. Tetapi untuk pelanggan OKU, saya tidak kenakan bayaran. Mereka boleh datang makan secara percuma,” katanya yang turut membuka peluang kepada anak tempatan serta golongan OKU yang memerlukan pekerjaan untuk mencari pengalaman di restorannya.

Berkongsi bagaimana menjalani kehidupan sebagai usahawan OKU, Mohamad Farid berkata sehingga ke saat ini dia masih mendapatkan khidmat kaunseling secara berkala daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka (kaunselor) kerap berkunjung ke sini, kadang-kadang saya tak tahu yang pelanggan saya itu ialah kaunselor JKM. Dia datang, order (pesan) makanan macam pelanggan lain. Rupanya dia memerhatikan gerak-geri saya serta cara saya layan pelanggan untuk nilai tahap emosi saya,” katanya.

Mengenai bantuan dan sokongan dalam mengusahakan restoran itu, dia berkata pihak Lembaga Zakat Selangor amat prihatin serta sentiasa memantau perkembangan perniagaan manakala JKM memantau emosinya melalui khidmat kaunseling. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas