Berita

Sikap juga perlu berubah selaras dengan kenaikan gaji

- Diterbit 6 Disember 2024 7:20 PM MYT

PELAKSANAAN pelarasan gaji penjawat awam yang bermula bulan ini perlu disertakan sekali dengan perubahan sikap dan peningkatan prestasi dalam melaksanakan sesuatu tugas mendepani isu-isu rakyat.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, malah kakitangan kerajaan juga perlu bersikap positif selain mempunyai semangat untuk bekerja.

“Dalam interaksi saya dengan anggota masyarakat, saya dapat aduan dan gambaran bahawa masih ada isu tentang prestasi kakitangan kerajaan.

“Ini melibatkan kecekapan untuk memberi maklum balas terhadap permintaan, pertanyaan dan jawapan kepada isu-isu rakyat. Ada yang mengambil masa lama untuk rakyat dapatkan jawapan atau maklum balas.

“Inilah yang saya nak tekankan, kenaikan (gaji) ini adalah berpatutan tetapi saya kira mereka ini akan dapat berkhidmat dengan lebih baik serta meningkatkan produktiviti,” katanya kepada Wilayahku.

Lam Thye berkata, merangkumi semuanya itu, paling penting adalah ketulusan dalam bekerja dan integriti.

“Ini semua perlu ditingkatkan agar mereka boleh mendapat keyakinan rakyat dan masyarakat terhadap perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau turut menekankan isu-isu yang sering mendapat aduan rakyat iaitu berkaitan perkhidmatan di kaunter-kaunter agensi kerajaan.

Menurutnya, kakitangan awam perlu mempunyai sikap ‘logik akal’ jika sesuatu perkhidmatan di kaunter itu sesak dan orang ramai terpaksa mengambil masa lama untuk menyelesaikan isu-isu mereka.

“Itu saya sebut dari segi kecekapan, ini sangat penting. Isu di kaunter ini isu lama tetapi masih ada agensi yang tidak dapat menyelesaikannya dengan baik.

“Ada kaunter yang sepatutnya dibuka semuanya (ketika waktu puncak) tetapi tidak dibuat sedemikian. Saya harap isu ini dapat diselesaikan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat kenaikan gaji penjawat awam ini bertepatan dengan masanya ketika semua pihak berdepan dengan isu kos sara hidup.

“Sekiranya gaji untuk kakitangan kerajaan dinaikkan, itu membantu mereka mengurangkan bebanan yang ditanggung,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas