Artikel

Sikap buruk merokok di restoran

- Diterbit 7 Jun 2024 10:50 AM MYT

MEMANG sakit hati kawan-kawan Kedai Kopi melihat masih ada kelompok pelanggan premis makanan, baik restoran atau gerai tanpa rasa bersalah menghisap rokok sambil makan dan minum.

Perlakuan mereka jelas menyalahi undang-undang. Peraturan dilarang merokok di tempat awam seperti hospital, juga premis menjamu selera, sudah dikuatkuasa sejak Januari 2019. Undang-undang ini terpakai hingga kini.

Tentu para pelanggan lain sangat tidak selesa menikmati hidangan dalam persekitaran tercemar akibat kepulan asap rokok memenuhi ruang. Bagai lemas rasanya diselubungi asap, malah boleh mematikan selera.

Kawan-kawan kedai Kopi menyaksikan sendiri gelagat pelanggan yang langsung tidak peduli orang di sekeliling, bukan sahaja orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Kelompok perokok tegar ini menganggap premis makanan seperti milik sendiri.

Kerana itu mereka berbuat sesuka hati sedangkan perbuatan itu tidak disukai oleh pelanggan lain. Siapa yang mahu terdedah kepada bahaya ancaman asap rokok dalam persekitaran tercemar?

Jika penghisap rokok ini tidak mahu menerima hakikat merokok membahayakan kesihatan, mereka tanggunglah sendiri akibatnya. Tetapi jangan mengheret orang lain sama menanggung akibat perbuatan mereka, terutama kanak-kanak.

Walaupun tidak senang hati, pelanggan lain hanya berdiam diri kerana tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini jika ditegur. Bimbang juga kalau sampai bergaduh. Pilihan yang ada ialah angkat kaki.

Begitu juga pemilik premis makanan yang tidak berani menegur kerana bimbang dimarahi atau mungkin bimbang kehilangan pelanggan. Tetapi bukankah mematuhi undang-undang serta menjaga kepentingan pelanggan lain itu lebih utama?

Pihak berkuasa bukan tidak melakukan pemantauan atau penguatkuasaan. Juga bukan tidak ada tindakan diambil terhadap pesalah namun perokok tegar sudah lali. Hanya patuh jika nampak penguat kuasa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas