Berita

Sijil Alternatif Sekolah Menengah dikeluarkan 26 Februari ini

- Diterbit 19 Februari 2025 12:45 PM MYT

SIJIL Alternatif Sekolah Menengah (SASM) Tahun 2024 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan dikeluarkan pada 26 Februari 2025 dan boleh diperoleh dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2024 telah selesai dilaksanakan pada 7 Januari 2025.

“Seramai 4,886 orang MBPK dari 841 buah sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2024/2025 dan layak menerima SASM,” katanya.

KPM berkata, pihaknya sentiasa komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“SASM adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi KPM yang memastikan akses pendidikan yang terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas