Berita

Sidang kemuncak bersama Islam dan Arab gesa UNSC segera lakukan gencatan senjata, sekat pengepungan ke atas Gaza

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 12 November 2023 8:00 AM MYT

SIDANG Kemuncak Tergempar Islam dan Arab yang baru sahaja selesai menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) membuat keputusan tegas dan memuktamadkan segera gencatan senjata di Gaza serta menyekat sebarang tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan malam tadi pada penghujung sidang tergempar sehari bagi membincangkan pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Palestin itu, negara-negara peserta menggesa agar ditamatkan segera pengepungan terhadap Gaza dan membenarkan konvoi bantuan kemanusiaan Arab, Islam dan antarabangsa memasuki Gaza.

“Menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil keputusan yang tegas dan memutamadkan keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata dan menyekat pihak berkuasa pendudukan penjajah yang melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta resolusi legitimasi antarabangsa, iaitu yang terbaharu Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. No. A/ES-10/L.25 bertarikh 26/10/2023.

“Tidak bertindak dianggap sebagai satu persekongkolan yang membolehkan Israel meneruskan pencerobohan kejamnya yang membunuh orang yang tidak bersalah, kanak-kanak, orang tua, dan wanita, serta meranapkan bumi Gaza,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap pada sidang kemuncak bersama itu telah menggesa semua negara anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk secara konsisten dan tegas menyeru gencatan senjata dilakukan segera dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Ummah menurutnya, mengharapkan hasil yang nyata dan tindakan konkrit daripada Sidang Kemuncak Tergempar Islam dan Arab yang berlangsung sehari.

“Saya menyeru setiap daripada kita untuk menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik secara strategik dalam setiap dialog dan di setiap peringkat, sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau atau antarabangsa.

“Marilah kita secara konsisten dan tegas menyeru perkara berikut dalam kempen diplomatik bersepadu untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” kata Perdana Menteri.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz di sini, Sidang Kemuncak Tergempar Islam Arab bersama itu  untuk membincangkan pencerobohan Israel ke atas Palestin dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Kenyataan Akhir itu turut menyeru UNSC untuk segera meluluskan resolusi yang mengecam pengeboman biadap tentera Israel terhadap hospital di Semenanjung Gaza, menghalang perubatan, makanan dan bahan api serta memutuskan perkhidmatan penting seperti elektrik, air, komunikasi dan akses Internet. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas