Berita

Siasatan kebakaran paip gas Putra Heights: Laporan awal diumum esok

- Diterbit 3 April 2025 5:15 PM MYT

HASIL siasatan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu akan mula didedahkan dalam sidang media khas yang dijadualkan esok, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan akan mengetuai sesi taklimat tersebut, dengan perkembangan siasatan dikemas kini setiap dua hari.

“Bermula esok, Ketua Polis Selangor akan memaklumkan dapatan awal siasatan melalui sidang media.

“Kita juga akan mengadakan sesi taklimat berkala yang membabitkan keputusan dasar serta aspek siasatan, sama ada berkaitan jenayah, kecuaian, atau faktor teknikal yang akan dibentangkan oleh agensi berkaitan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam di sini hari ini.

Sementara itu, Amiruddin memaklumkan beberapa langkah kawalan akan mula dikuatkuasakan hari ini di beberapa lokaliti, khususnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bagi mengurangkan kesesakan.

Kawalan itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk penyusunan semula lokasi perjumpaan keluarga mangsa bagi memastikan kelancaran operasi.

Kebakaran besar yang berlaku pada hari kedua Aidilfitri itu mengakibatkan kemusnahan besar serta memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS bagi keselamatan mereka.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas