Berita

SHMMP Tahun Baharu Cina 2024: 43 kes gagal guna tanda harga khas, satu tiada tanda harga

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 17 Februari 2024 1:30 PM MYT

SEBANYAK 43 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga telah diambil tindakan undang-undang susulan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 bermula 6 Feb lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya tidak mengesan kesalahan berkaitan menjual melebihi harga maksimum sepanjang pelaksanaan skim itu.

“Sepanjang pelaksanaan skim ini, sebanyak 6,186 pemeriksaan telah dijalankan terhadap premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 118 pemeriksaan premis borong dan pengeluar serta 6,068 premis runcit,” katanya.

Beliau berkata Tahun Baharu Cina disambut pada 10 Feb dan pelaksanaan SHMMP yang berkuat kuasa hingga 14 Feb merupakan langkah kerajaan menangani kos sara hidup semasa sambutan perayaan itu.

Sebanyak 11 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP iaitu udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak), kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas