Berita

Sharul Nazeem impi dakap kejuaraan pada final sulung

- Diterbit 24 November 2022 3:19 PM MYT

PEMAIN pertahanan Selangor FC Sharul Nazeem Zulpakar, mengimpikan mendakap kejuaraan Piala Malaysia, pada penampilan sulungnya di pentas final kejohanan bola sepak terunggul itu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain berusia 23 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Afro berkata memenangi Piala Malaysia, akan menjadi kejayaan paling bermakna dalam kariernya, sejak diserap ke skuad senior daripada Selangor FC 2 pada awal musim 2021.

“Ini kali pertama saya merasa final, bukan senang untuk mara ke final. Jadi inilah waktunya saya bermain dengan baik dan bagi fokus sepenuhnya untuk bantu pasukan. Saya harap rakan-rakan pun dapat bagi yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Menyedari pertembungan dengan JDT bukan mudah, Sharul Nazeem berkata beliau dan rakan sepasukan juga bersedia sekiranya perlawanan akhir itu berlanjutan sehingga ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

Namun, beliau secara peribadi mahukan Selangor yang dibimbing bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, memenangi final itu dalam tempoh 90 minit.

“Kebanyakan pemain JDT bagus, jadi kami perlu mengawal dari segi serangan mereka dan perlu fokus 90 minit bagi meraih kemenangan,” kata pemain itu yang baru-baru ini dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan, bagi menghadapi Piala AFF bermula bulan hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyerang sensasi JDT Bergson Da Silva, yang telah meledak enam gol dalam kempen saingan musim ini ialah pemain yang perlu ‘dirantai’, selain gandingannya Fernando Forestieri dan pemain sayap lincah Arif Aiman Mohd Hanapi.

Terdahulu, JDT turut menjalani sesi latihan di sini pada sebelah petang susulan keadaan hujan di Stadium Nasional, yang mencetuskan kebimbangan terhadap permukaan padang pada hari perlawanan.

Kali terakhir Selangor muncul juara Piala Malaysia ialah pada musim 2015, sebelum gagal mempertahankan gelaran apabila tewas kepada Kedah di final musim berikutnya, sementara JDT muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas