“SYUKUR Alhamdulillah.. terima kasih Datuk Seri (Shahidan) kerana datang jenguk Pak Wan..” itulah kata-kata Mohd Redzuan Abdullah, 60, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika melihat kelibat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim datang berkunjung ke ‘kediamannya’ di belakang kedai serbaneka dekat Taman Sungai Besi petang tadi.
Jelas Mohd Redzuan yang lebih mesra disapa Pak Wan, beliau yang sebelum ini terpaksa menjadikan kereta pelanggan yang diberi untuk dijadikan sebagai rumah sejak 20 tahun lalu sesekali tidak menyalahkan sesiapa mengenai keadaan yang berlaku keatas dirinya.
“Saya dahulu merupakan seorang pesara ATM dan pernah bekerja di Unit Semboyan, Kementerian Pertahanan (MINDEF). Apabila ada sedikit masalah, maka akhirnya saya terpaksa menghadapi kehidupan seperti ini dan tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran menduduki rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diserahkan Shahidan.
Hadir sama Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Seri Zainal Rafique dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin.
Beliau turut melahirkan ucapan terima kasih di atas perhatian dari pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang prihatin di atas nasib yang menimpanya sejak ia mula tular di media sosial baru-baru ini.
“Bagi saya, Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan bukan bercakap kosong. Mereka prihatin dan di atas sebab itu saya akan diberi sebuah rumah yang cukup selesa, bukan setakat rumah kosong, ia juga lengkap dengan peralatan seperti peti sejuk untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.
“Oleh itu, saya ucap terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Shahidan kerana membantu saya,” katanya.
Meskipun pernah menjadi petugas barisan hadapan untuk negara dan menjalani kehidupan dalam serba kekurangan, Pak Wan tidak mengeluh bahkan sentiasa bersangka baik dengan takdir yang menimpa dirinya.
“Kalau kita bersangka baik, Tuhan akan beri yang baik. Tapi disebabkan duduk macam ni tidak buat masalah, tolong support kebersihan guna kawasan ini dan tanpa mengharapkan bantuan dan balasan, hari ini dapat rumah yang selesa,” katanya.
Sementara itu, Shahidan berkata, di atas keprihatinan Perdana Menteri, beliau telah meminta untuk Pak Wan berpindah dan DBKL telah mendapatkan tempat di Perumahan Awam (PA) Seri Johor tanpa perlu membayar sewa bulanan selama setahun.
“Disini (Seri Johor) sewanya adalah RM96 sebulan dan kita akan beri percuma selama setahun kepada Pak Wan dan beliau tidak perlu bayar sewa.
“Saya lihat ada ramai dermawan yang meminta selepas setahun itu untuk mereka ambil alih bagi terus membantu Pak Wan,” katanya.
Shahidan berkata, dengan bantuan tersebut, sudah pasti veteran ATM itu akan menjalani kehidupan serta memudahkan beliau untuk beribadat dengan lebih baik.
“Untuk peralatan dan kelengkapan rumah, ini semua akan diuruskan dengan sebaiknya. Bagi saya, semua itu tidak perlu disebutkan sebab Insyaa Allah akan ada kawan-kawan dan dermawan yang akan membantu dan kita mesti anggap ini sebagai amal jariah mereka,” katanya. –WILAYAHKU