Berita

Shahidan lancar duit syiling, setem sempena bertemakan Jubli Emas Bandar raya Kuala Lumpur

SHAHIDAN (dua kanan) ketika gimik Majlis Pelancaran Syiling Peringatan dan Setem Kenang-Kenangan yang diadakan di Sasana Kijang, hari ini.
- Diterbit 5 Julai 2022 11:10 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan duit syiling peringatan, setem kenang-kenangan serta sampul surat hari pertama yang bertemakan Sambutan Jubli Emas bandar raya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu duit syiling
peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) dengan nilai muka RM10.

“Selain itu, duit syiling peringatan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) dengan nilai muka RM1 yang boleh didapati di BNM dan tarikh mula penjualannya akan diumumkan mereka pada masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Syiling dan Setem Kenang-kenangan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur di Sasana Kijang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Penolong Gabenor BNM, Abdul Rahman Abu Bakar dan Ketua Jabatan Perancangan Korporat dan Antarabangsa Pos Malaysia, Azahar Ariff.

Shahidan berkata, untuk setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama pula l akan mula dijual kepada
orang ramai bermula 7 Julai ini pada harga RM38 setiap set.

“Ia mengandungi satu lembar setem kenang-kenangan, satu keping sampul surat hari pertama serta fail untuk meletakkan setem dan sampul surat tersebut.

“Setem dan sampul surat ini
boleh dibeli di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia,” katanya.

Jelas Shahidan, penghasilan syiling peringatan yang melibatkan Kuala Lumpur dan DBKL pernah dibuat
sebelum ini.

“Pada tahun 1972 misalnya, syiling peringatan, setem kenang- kenangan serta sampul surat hari pertama dikeluarkan sempena pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya.

“Manakala pada tahun 1990, syiling peringatan dikeluarkan sempena sambutan ulang tahun ke-100 DBKL
sebagai pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Tambah Shahidan, beliau berharap melalui penerbitan duit syiling peringatan, setem kenang-kenangan dan sampul surat hari pertama ini dapat dijadikan tanda kenangan yang cukup bermakna serta menjadi gambaran kepada kepesatan pembangunan yang dilalui oleh Kuala Lumpur sepanjang lima dekad lalu. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas