Berita

Setahun kekejaman zionis: Dunia tidak boleh terus menutup mata

Foto: AP Photo/Enas Rami
- Diterbit 8 Oktober 2024 1:04 PM MYT

DUNIA tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas susulan kekejaman berterusan rejim zionis di bumi Gaza.

Menurut kenyataan Wisma Putra, tragedi Oktober lalu, kini genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.

Katanya, sepanjang setahun ini, rejim zionis telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi, kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

“Komuniti hancur dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami. Dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas.

“Kempen keganasan dan penindasan rejim zionis berterusan tanpa tanda berhenti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat,” katanya pada Selasa.

Wisma Putra menambah, rejim zionis tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting dan kini melanggar kedaulatan Lubnan.

“Di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima. Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Untuk itu tegas Wisma Putra, semua negara mesti segera menghentikan kekejaman tersebut.

“Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim zionis atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

“Masa untuk bertindak telah lama tiba,” katanya.

Malaysia katanya, mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Tambahnya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di PBB. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas