DOA penyanyi Zizi Kirana untuk sekali lagi menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Syria sempena Ramadan tahun ini dimakbulkan.
Zizi yang berangkat ke Syria bersama tim Cinta Syria Malaysia pada 11 Mac lalu mengakui teruja untuk menghantar barangan bantuan yang telah disumbangkan kepada mangsa yang terjejas akibat konflik berterusan.
“Kami masuk melalui Beirut, Lubnan bagi menghantar barangan-barangan bantuan yang telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada saudara kita di Syria. Mereka sedang bergelut dengan kehidupan dan konflik,” katanya.
Peristiwa serangan bom di Syria pada Ramadan tahun lalu, sedikitpun tidak mematahkan semangat Zizi untuk kembali menyertai misi sama tahun ini.
“Pengalaman berada dalam situasi di mana berlakunya serangan bom, satu pengalaman yang tak mungkin saya lupakan. Bermacam-macam perasaan yang dirasakan dalam diri.
“Untuk kali ini, saya telah buat persiapan dari segi mental seperti tahun lepas. Saya memang berniat untuk hantar bantuan dan melihat keadaan sebenar di Syria.
“Bila tempat kami di bom tahun lepas, kejadian itu memang buat kami terkedu seketika. Siapa tak takut. Kata mereka, jika serangan bom ini bermula, akan ada serangan susulan.
“Walaupun berada dalam keadaan bahaya, situasi itu yang mengajar saya untuk berserah kepada Allah. Saya tawakal sahaja bila sertai misi ini,” katanya.
Zizi akui hatinya kuat berpegang dan yakin dengan Allah selain pasrah jika ditakdirkan dengan sebarang kemungkinan apabila berada dalam saat-saat cemas.
“Allah Maha Baik. Bila saya lalui insiden bom itu, panik itu sudah tentu. Kita tak pernah dengar bunyi bom sekuat itu. Bila kita rasa sendiri, baru saya tahu, inilah situasi biasa yang selalu mereka hadapi.
“Saya baru sekali. Bayangkan mereka setiap hari berdepan situasi cemas dan mendebarkan.
“Rasa takut itu memang ada. Ketika situasi serangan bom tahun lepas, hanya empat orang sahaja daripada Malaysia. Kami berfikir, kalau syahid pun tak mengapalah. Harap segalanya dipermudahkan. Itulah mindset kami,” katanya. – WILAYAHKU