Berita

Seramai 90 remaja jayakan Konsert Orkestra Kuala Lumpur X Rakan Muda 2025, Sabtu ini

- Diterbit 13 Februari 2025 2:54 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mengadakan Konsert Orkestra Kuala Lumpur X Rakan Muda 2025, pada 15 Februari ini bertempat di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1.

Konsert membabitkan peserta dari kategori belia berumur 13 hingga 30 tahun itu adalah kesinambungan daripada program Kem Muzik Rakan Muda yang diadakan selama seminggu dari 10 hingga 17 Januari lalu.

Objektif penganjuran konsert itu adalah memberi platform kepada peserta kem yang terdiri daripada remaja berbakat untuk mempersembahkan hasil pembelajaran mereka dalam satu persembahan yang memukau dan menyeronokkan.

Sepanjang latihan, peserta menjalani pelbagai sesi pembelajaran dan latihan intensif di bawah bimbingan tenaga pengajar berpengalaman daripada Orkestra Kuala Lumpur.

Ini termasuklah kelas teknik bermain alat muzik, teknik vokal, dan pengurusan persembahan.

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan mengenai teori muzik dan kerja berpasukan, yang membolehkan mereka lebih bersedia untuk tampil di atas pentas.

Konsert yang akan diadakan di Auditorium DBKL, menyaksikan penglibatan seramai 90 remaja yang membentuk orkestra remaja.

Acara ini akan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa peserta, warga tempatan dan peminat muzik.

Persembahan akan dibuka dengan lagu tema filem-filem kartun. Masuk adalah percuma. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas