Berita

Seramai 7,500 sertai Larian Wira kenang jasa ATM

KREDIT foto: LTAT.
- Diterbit 29 Oktober 2023 7:00 AM MYT

SERAMAI 7,500 pelari menyertai Larian Wira 2023 bagi mengenang jasa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Larian anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu menampilkan pelbagai kategori berbeza seperti Separa Marathon 21.1km, 10km dan 5km, dengan 1,500 peserta adalah dalam kalangan warga ATM, staf LTAT dan syarikat.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata Larian Wira yang memasuki tahun kedua penganjuran itu, diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk rasa penghargaan kepada anggota ATM dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

“Larian ini adalah cara terbaik untuk menzahirkan penghargaan kepada para pencarum kami yang telah memberikan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada LTAT.

“Pemilihan Dataran Merdeka sebagai lokasi Larian Wira kali ini adalah simbolik memandangkan ia adalah satu daripada mercu tanda penting untuk memperingati kemerdekaan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Pelepasan larian disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman bersama Pengerusi LTAT Jen (B) Tan Sri Raja Affandi Raja Mohamed Noor.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada para peserta dan orang ramai seperti Obstacle Course Challenge, Military Fitness Challenge, karnival kanak-kanak, cabutan bertuah serta trek makanan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas