BUAT pengguna setia produk makanan Ratu Tumis Rasa Rosz pastinya tidak asing lagi dengan pilihan juadah yang disajikan di Restoran Rasa Rosz. Dibuka sejak setahun lalu‚ menu berasaskan pes serta sambal yang mendapat sentuhan fusion pasti memberikan pengalaman berbeza kepada setiap pelanggan.
Menurut Cef Eksekutif‚ Mohd Azrannuddin Yaakub‚ kelainan yang cuba ditampilkan di restoran ini ialah hampir kesemua menu yang ditawarkan adalah hasil olahan daripada pes masakan mereka sendiri.
“Di sini kami lebih kepada produk sendiri. Sebelum wujudnya restoran‚ Rasa Rosz mengeluarkan pes masakan sendiri‚ jadi saya bangunkan menu berdasarkan empat pes kami iaitu sup‚ gulai‚ asam pedas dan sambal.
“Menggunakan pes tersebut‚ kami olah untuk masakan menu lain sebagai contoh‚ pes sup digunakan untuk perapan ayam bakar‚ gulai kita buat fusion sikit dihidangkan dengan mantao goreng dan banyak lagi‚” katanya yang mesra dikenali sebagai Cef Bob.
Cef Bob berkata‚ antara menu yang menjadi tarikan adalah nasi goreng nusantara di mana semua elemen yang dihidangkan adalah homemade dan tidak menggunakan bahan ready to eat.
“Nasi goreng nusantara ialah nasi jasmin yang digoreng dengan daun limau purut‚ sawi‚ serai‚ bunga kantan dan hirisan ayam. Ia turut dihidangkan dengan sate ayam atau daging di mana kuah kacang juga adalah resipi kami sendiri.
“Selain itu‚ hidangan lain yang wajib dicuba adalah spageti itik salai shitake yang dimasak dengan minyak zaitun bersama cendawan shitake‚ tomato ceri‚ buah zaitun‚ asparagus dan dicampur Sambal Cendawan Shitake Rasa Rosz yang juga produk kami‚” ujarnya yang berpengalaman selama 20 tahun dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Jelasnya setiap menu baru perlu melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta food testing bersama pemilik Restoran Rasa Rosz‚ Rozita Ramelan sebelum ia diperkenalkan kepada pelanggan.
“Dalam mewujudkan sesuatu menu‚ kami melalui beberapa proses perbincangan terlebih dahulu namun apa yang sering ditekankan adalah untuk menyediakan menu yang ringkas dan sihat. Ia sedikit sebanyak memberi tekanan namun saya sahut cabaran itu sebaiknya dengan menyediakan beberapa menu berasaskan pes kami sendiri.
“Penggunaan pes juga sedikit sebanyak membantu menjimatkan masa dalam proses penyediaan makanan di mana pelanggan hanya perlu menunggu dalam 10-20 minit sahaja sebelum ia dihidangkan‚” katanya.
Tambahnya setiap bahan yang digunakan diperoleh daripada pembekal tempatan di sekitar Lembah Klang.
“Kita akan melakukan penambahbaikan dari segi menu untuk masa akan datang‚ mungkin akan perkenalkan beberapa lagi menu barat mahupun lokal dengan menggunakan pes dan sambal sendiri. Semuanya masih dalam proses perbincangan‚” katanya.
PENUHI CITA RASA SEMUA
MENGAKUI setiap perniagaan mempunyai liku-liku cabaran tersendiri‚ Cef Bob berkata industri makanan memberi cabaran yang besar buat peniaga itu sendiri.
“Antara cabarannya adalah kita kena pastikan makanan yang dihidangkan sampai kepada semua lapisan masyarakat sebab di Malaysia kita mempunyai pelbagai bangsa dan setiap individu itu mempunyai cita rasa yang berlainan.
“Bagi saya sukar untuk kita puaskan hati semua orang namun memadai sekiranya majoriti besar menggemari makanan kami dan kami masih dalam progres untuk terus melakukan yang terbaik demi pelanggan‚” ujarnya selain di AEON Big Wangsa Maju‚ IOI City Mall Putrajaya merupakan cawangan kedua buat Restoran Rasa Rosz.
Berkongsi perancangan masa hadapan‚ Cef Bob berkata pihaknya akan mengeluarkan lebih banyak produk lain seperti pes nasi ayam‚ sambal nasi lemak dan lain-lain.
“Kami juga dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan di sekitar Lembah Klang pada tahun depan insya-Allah‚” ujarnya. – WILAYAHKU
[Iklan]