Berita

Seniman jalanan: JWP akan wujudkan Dasar Hiburan Wilayah Persekutuan

- Diterbit 27 Februari 2025 1:23 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) akan mewujudkan Dasar Hiburan Wilayah Persekutuan bagi memastikan aktiviti pemuzik jalanan atau buskers di Kuala Lumpur dapat dikawal selia secara profesional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, untuk itu JWP akan mengadakan sesi temu rapat pada suku kedua tahun ini untuk mendapatkan input awal sebelum dasar itu diwartakan.

“Sesi temu rapat itu akan turut melibatkan seniman jalanan terutamanya buskers. Kita akan mohon juga JWP turut jemput buskers yang tiada permit (menjalankan aktiviti hiburan) bagi mendengar sendiri masalah dan cabaran dihadapi mereka.

“Ini juga bagi mendapatkan input apa yang boleh kerajaan berikan (kepada mereka),” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan P.Prabakaran (PH-Batu) mengenai isu seniman atau pemuzik jalanan yang masih beroperasi tanpa permit untuk menjalankan aktiviti hiburan khususnya di kawasan tumpuan pelancong di Kuala Lumpur.

Zaliha menambah, sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan 16 lokasi strategik sebagai lokasi rasmi aktiviti buskers seperti zon-zon komersial dan pelancongan.

Ini jelas beliau, melibatkan antaranya Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Medan Pasar dan Jalan Alur selain di zon rekreasi dan sosial.

Katanya, kebenaran itu melibatkan operasi dari pukul 9 pagi sehingga 12 tengah malam.

Beliau kemudiannya mengambil maklum terhadap cadangan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) supaya mereka yang terlibat dalam aktiviti pemuzik jalanan perlu berpakaian bersih atau mengenakan baju batik Malaysia selain diberikan royalti tertentu.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Prabakaran, beliau berkata, DBKL telah memberikan permit rasmi kepada seniman jalanan sejak 10 tahun yang lalu dan sehingga kini, 579 seniman jalanan diberikan permit untuk menjalankan aktiviti hiburan di lokasi yang dibenarkan.

Ia katanya, meliputi 374 orang dalam kategori Seni Persembahan Muzik (SPM) dan 205 orang dalam kategori Seni Visual Kreatif (SVK) seperti badut, maskot, silap mata, dan pelukis inai.

“Langkah ini membolehkan Kuala Lumpur mempunyai komuniti penghibur jalanan yang teratur, berkualiti serta mampu menjadi daya tarikan pelancongan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas