Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SEMASA hayatnya beliau amat senama dengan Jalan Masjid India. Siapa menyangka bermula dengan menjual ubat di kaki lima, kemuncaknya beliau menjadi aktor hebat. Daripada berceloteh hampir lima jam di kaki lima, beliau terpilih bermonolog di luar negara. Semuanya kerana pengalaman yang dikutip di Jalan Masjid India.
Sebenarnya yang ramai mengerumuni beliau ketika menjual ubat bukan hendak membeli, tetapi banyaknya terpukau dengan aksinya bagaikan seorang aktor. Beliau pun tidak mengharapkan jualannya laris, aksi itu lebih pada membina stamina dan kelantangan suara di pentas teater.
Itulah Allahyarham Khalid Salleh yang lebih dikenali kalangan teman-teman sebagai Wak Khalid. Keberadaannya sebagai seniman sangat terkait dengan Kuala Lumpur atau lebih tepat lagi Jalan Masjid India. Hal itu kerana sejak remaja hingga akhir usia, di situlah tapak kesenimanan dan kehidupannya.
Saya mengikuti dari dekat semua karya Khalid sejak mula kenal dan rapat pada 1984 di Panggung Drama, Jalan Bandar. Sekarang bangunan Panggung Drama itu diubah suai menjadi pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan.
Waktu itu hampir setiap malam selepas pulang dari pejabat saya menjadi sebahagian daripada penggiat yang selalu berlatih di Panggung Drama, tempat yang menjadi pangkalan penggiat teater di Kuala Lumpur.
Dalam kalangan penggiat teater, Khalid ibarat Pak Lurah, beliau amat dihormati dan menjadi rujukan. Bukan sahaja hal teater, tetapi juga yang berkait hal kehidupan. Cakapnya jarang disanggah, bukan kerana usia yang paling senior walaupun baru 36 tahun, tetapi disebabkan pengalamannya.
Khalid, seorang aktor, sasterawan dan teateris yang sukar untuk didua atau ditigakan. Beliau adalah satu-satunya seniman yang menguasai secara kukuh disiplin budaya, sastera, teater dan lakon pada satu masa. Beliau bukan ‘serba boleh’ tetapi yang tepat ‘serba hebat’ dalam semua jalur seni yang ditangani.
Beliau tidak mahu menjadi lain selain seniman, itulah pengamatan saya terhadap Khalid sejak empat dekad lalu. Menjual ubat di Jalan Masjid India adalah proses pembinaan seorang aktor. Di situlah Khalid belajar memahami manusia dan watak-watak mereka.
Pengarah teater Krishen Jit pantas mengesan luar biasanya penjual ubat bernama Khalid Salleh itu. Lalu diserahkan watak Adam, tunggak utama dan tunggal teater Bukan Bunuh Diri karya Dinsman. Beliau seorang yang agak ‘cerewet’ tentang pelakon, tetapi begitu pantas memilih Khalid untuk membawa watak Adam.
Teater Bukan Bunuh Diri membawa Khalid ke dunia yang hampir serupa dengan menjual ubat, teater juga amat menuntut kekuatan fikir, aksi dan suara. Masa yang sama melangsungkan dirinya sebagai aktor dalam kondisi dan ruang yang baharu.
Bukan Bunuh Diri menjadi tiket Khalid untuk terbang lebih tinggi. Selepas teater itu Khalid melangkah ke drama televisyen dalam slot Drama Minggu Ini dengan drama Pelari, kemudian diikuti drama Wali. Pada tahun 1980-an, berlakon drama di RTM adalah pencapaian luar biasa disebabkan peluang yang amat kecil tetapi tapisan yang sangat ketat.
Penuh pesona
Khalid juga antara perintis kumpulan Anak Alam yang bergiat di sebuah banglo lama berhampiran Padang Merbuk. Perkumpulan seniman dekad 1970-an dan 1980-an itu juga menjadi pemangkin memantapkan kesenimanan Khalid dalam teater dan puisi.
Apabila mendeklamasi, Khalid bagaikan seorang orator yang menghantar kesan yang mengagumkan khalayak. Maka keterampilan beliau di pentas sentiasa penuh dengan pesona dan tarikan. Oleh kerana itu, kalau Indonesia ada W.S Rendra, kita berbangga mempunyai Khalid Salleh.
Khalid tidak sahaja deklamator, malah sasterawan yang mengolah dan menggaul pemikiran dalam puisi dan naskhah lakonnya. Dia seorang aktor yang terdidik dengan disiplin dan menguasai ‘ruang dan masa’ yang menjadi kunci keterampilannya di pentas.
Karya-karyanya sejak dahulu sehinggalah yang terakhir Jual Ubat (2013), tidak pernah berubah daripada gagasan dan matlamatnya yang asal untuk menyampaikan sesuatu yang ada di fikiran. Beliau tidak banyak bercakap atau berforum, tetapi terus membuat kerjanya sebagai seniman biarpun dalam skala yang kecil.
Khalid adalah anugerah pada dunia kesenimanan kita. Ketegasan tentang sebab musabab berkarya dan keterlibatan dalam seni tidak pernah tergugat oleh apa-apa dan sesiapa. Seni di tangan Khalid adalah wahana menghantar prinsip dan pemikiran kerana beliau adalah pemikir dan pemerhati sosial yang amat tekun.
Sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an, Khalid banyak mementaskan naskhah karyanya sendiri. Seingat saya hanya tiga teater sahaja yang Khalid berlakon bawah pengarah lain – Malam Haram (arahan Rosminah Tahir), Bukan Bunuh Diri (Krishen Jit) dan Wangi Jadi Saksi (U-Wei Haji Saari). Selebihnya mementaskan dan mengarahkan naskhah teaternya sendiri.
Antara karya teaternya adalah Gong Gedombak, Umbut Mayang Mengurai, Sijil Penuh, Bertam Bukan Semambu, Kena Main, Si Bereng-Bereng, Benda Sulit dan Bangsat. Pernah mementaskan teater monolog Pawang di Jepun, kemudian monolog Jual Ubat yang dihasilkan pada empat tahun terakhir hayatnya.
Monolog Jual Ubat meletakkan Khalid di puncak kerjayanya sebagai seorang aktor sekali gus sasterawan. Jual Ubat adalah kesepaduan pengalaman, ilmu dan pemikiran di atas satu pentas. Daripada menjadi pemain tunggal di medan jual ubat, beliau ‘menutup’ tugasnya dengan monolog Jual Ubat apabila kembali ke pangkuan Ilahi pada 23 Julai 2018.
Selain di Kuala Lumpur, monolog Jual Ubat juga dipentaskan di beberapa tempat di negara ini. Lebih membanggakan lagi apabila monolog itu dipentaskan hampir di semua kota utama di Indonesia.
Khalid menoleh pada asal usulnya dan Jual Ubat juga kemuncak proses kelahiran seorang aktor yang besar lagi tertampil. Bezanya, kalau dahulu bermonolog di Jalan Masjid India selama lima jam tanpa henti, tetapi dalam Jual Ubat hanya sekitar dua jam sahaja.
Dari sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang tasawuf dan hakikat hidup manusia. Sebagai pencerita, Khalid mempertontonkan kepada khalayak bahawa semua manusia sewajarnya mempunyai matlamat dan kesedaran sebagaimana dirinya dalam mencari hasil dan reda Allah.
Selepas mengamati semua lakonan Khalid dalam filem Kaki Bakar, Jogho dan Hanyut serta teater Wangi Jadi Saksi arahan U-Wei Haji Saari, saya tidak teragak-agak menyimpulkan bahawa monolog Jual Ubat adalah kemuncak keberadaan dan permainan hebat seorang aktor.
Sebagai Kakang dalam filem Kaki Bakar atau Mamat dalam Jogho, Khalid memberikan suatu yang luar biasa kepada U-Wei Haji Saari. Pemilihan untuk kedua-dua filem itu dan teater Wangi Jadi Saksi adalah kecemerlangan U-Wei Haji Saari ‘membaca’ Khalid. Itulah aktor kelahiran Jalan Masjid India yang sukar ditanding dan hanya dikesan nilainya oleh pengarah yang hebat.