Berita

SENDI Studio & Galeri himpun hampir 500 karya digital

- Diterbit 8 Februari 2021 3:42 AM MYT

MINAT mendalam seorang pensyarah dalam bidang lukisan sejak di bangku sekolah mendorong beliau untuk membuka galeri seni digital di ‘teratak’ miliknya di Beris Lalang di sini sejak Mac tahun lepas.

Pengasas dan pemilik SENDI Studio & Galeri (SSG) Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, usaha beliau untuk memanfaatkan platform digital membuahkan hasil apabila galeri yang dibina itu kini berjaya menghimpunkan hampir 500 karya digital peribadi beliau selain hasil pengkarya tempatan dan antarabangsa.

Pensyarah Kanan dan juga mantan Dekan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu juga berkata hasil karya seni itu melibatkan 35 pengkarya dari 14 negara iaitu dari Malaysia, Bangladesh, India, Senegal, Vietnam, Indonesia, Singapura, Jepun, Filipina, Ukraine, Hungary, Mexico, Ecuador dan Turki.

“Saya sudah lama berhasrat untuk memiliki galeri seni sendiri namun sebelum ini ia terpaksa ditangguh disebabkan beberapa kekangan termasuk komitmen lain seperti dipertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran serta kerjaya hakiki sebagai seorang pensyarah.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19 sejak Mac 2020 yang menjadikan semua aktiviti masyarakat khususnya dalam bidang seni terkesan, ia mendorong saya untuk memanfaatkan platform digital secara meluas sekali gus menjadikan galeri seni digital yang pertama ditubuhkan di Kelantan,” katanya ketika ditemui Bernama di SENDI Studio dan Galeri miliknya di Kampung Beris Lalang di sini.

Bercerita lanjut, Ahamad Tarmizi berkata beliau sanggup melaburkan modal lebih RM50,000 bagi memiliki dan membina galeri seninya sendiri di ruang tambahan di kediamannya termasuk kelengkapan digital untuk meneruskan impian beliau dalam bidang seni digital.

“Antara kelebihan karya seni digital ini saya dapat berkarya di mana-mana dan bila-bila sahaja serta tidak perlu membawa berus atau kanvas secara tradisional, tetapi hanya menggunakan peranti digital seperti iPad dengan memuat turun aplikasi penyuntingan seperti Procreate untuk berkarya.

“Selain itu, hasil seni digital juga dapat dihasilkan dalam tempoh yang singkat iaitu sekitar dua hingga tiga hari bergantung kepada resolusi dan saiz visual yang hendak dihasilkan berbanding seni tradisional yang mengambil masa lebih lama untuk dihasilkan bergantung kepada kesukaran karya yang hendak dihasilkan,” katanya yang turut menghasilkan karya-karya secara tradisional bagi memenuhi permintaan pengumpul dan peminat seni.

“Setiap seni digital yang dihasilkan dapat dijual pada harga serendah RM200 dan ia mampu mencecah sehingga RM1,000 bergantung kepada nilai estetik dan tema lukisan serta kesukaran visual yang dihasilkan,” katanya yang menfokuskan tema warisan budaya dan potret dalam hasil karyanya.

Ahamad Tarmizi berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) beliau turut aktif menjalankan aktiviti berkarya dan penganjuran pameran antarabangsa secara dalam talian dan fizikal termasuk Pameran Seni Antarabangsa SENDI Siri I yang telah dilaksanakan sejak 1 Feb lepas hingga 30 Mac ini.

Katanya, pameran seni antarabangsa julung kali bersempena pembukaan SSG itu juga melibatkan sebahagian karya-karya yang sedia ada dipamerkan secara fizikal di SSG, selain kesemua hasil seni ini turut dipamerkan secara maya menerusi media sosial SSG seperti Facebook, Instagram, saluran YouTube dan Galeri Maya artspace.

“Pameran ini bertujuan untuk membuka seluas-luasnya kepada pelukis tempatan dan juga antarabangsa untuk kekal bergiat aktif berkarya di waktu sukar pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP. Malahan, pameran ini juga diharap dapat membuka mata masyarakat setempat dan masyarakat Malaysia terhadap keupayaan bidang seni yang mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilaksanakan secara serius.

“Tema pameran yang julung kali dilaksanakan oleh SSG ini bertajuk “Antara Garis” (_Between The Line_) yang membicarakan tentang mesej antara pertembungan teknologi digital dengan teknik tradisional dalam pengkaryaan seni. Karya-karya yang dipamerkan juga berdasarkan tentang warisan, ekspresi jiwa, mesej kesedaran dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam menentang COVID-19,” katanya.

Ahamad Tarmizi berkata dalam tempoh terdekat beliau turut berhasrat untuk membuka kelas lukisan percuma kepada masyarakat setempat terutamanya penduduk kampung di sekitar Bachok untuk mempelajari dan menghasilkan seni digital sebagai punca pendapatan mereka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas