SEMUA pihak di Pulau Bebas Cukai ini diseru menyokong inisiatif kerajaan dalam usaha menghargai dan memulihara alam sekitar melalui Kempen Pengumpulan Pelupusan Barang Buangan Elektrik dan Elektronik (E-waste).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail berkata inisiatif itu merupakan usaha pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Labuan untuk menerapkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pelupusan barang buangan elektrik dan elektronik.
“Bagi memastikan kejayaan program ini, saya menyeru semua pihak untuk menguar-uarkan kempen ini di institusi masing-masing dan membantu Jabatan Alam Sekitar dalam usaha mengurangkan E-waste dari dilupuskan di tapak-tapak pelupusan sedia ada.
“E-waste memerlukan pengurusan yang lebih kompleks berbanding sisa pepejal biasa kerana ianya mempunyai komposisi logam-logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium dan sebagainya yang boleh mencemarkan sumber air dan kesihatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Program Pelancaran Kempen Pengumpulan E-waste peringkat Labuan di Terminal Teksi Pasar Sentral pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Datuk Othman Che Jusoh dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan, Amir Hamzah Musa.
Selain itu, Rithuan berkata bagi mencapai keberkesanan pengurusan E-waste secara menyeluruh di pulau itu, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar bakal menganjurkan beberapa kempen pada masa hadapan.
“Kita bersama-sama akan menganjurkan beberapa Kempen E-waste ini bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan E-waste yang dikutip dan dikumpulkan tidak dibuang di tapak pelupusan sampah,” katanya. -WILAYAHKU