SEMUA pihak diseru untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggoda isteri orang sebagai tidak berperlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik.
“Pun begitu, jika dilihat daripada aspek Hukum Syarak, Islam sangat mementingkan keharmonian rumah tangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri.
“Islam melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Na’im, selaras dengan Hukum Syarak, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] telah menjadikan perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga sebagai suatu kesalahan di bawah Seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami.
“Sementara itu, Seksen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
“Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumah tangga selaras dengan kehendak syarak,” jelasnya.
Jelas Mohd. Na’im, pemansuhan ini tidak menjejaskan peranan jabatannya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta lain-lain agensi untuk terus melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga yang menghayati nilai-nilai sakinah, mawaddah dan rahmah.
“Sehubungan itu, seluruh umat Islam terutama para suami dan isteri diseru untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga. Masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri untuk membangunkan keluarga demi anak-anak dan generasi Al-Falah.
“Selain itu, semua pihak juga adalah dipohon supaya saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, agensi-agensi hal ehwal agama bersama pertubuhan Islam dan pengurusan masjid adalah diseru untuk menghebatkan program-program pendidikan kepada masyarakat bagi menghayati kepentingan keutuhan sesebuah keluarga demi kehidupan yang sejahtera.
Pada 15 Disember lalu, media melaporkan, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. – WILAYAHKU.