Berita

Semua lapisan masyarakat mampu miliki rumah

- Diterbit 29 Ogos 2024 4:13 PM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi di bawahnya akan terus komited dalam memastikan semua lapisan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan akan mampu memiliki rumah sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk membangunkan lebih banyak unit kediaman di bawah Program Residensi Madani.

“Di Putrajaya misalnya, sebanyak 1,336 unit Residensi Madani Sentral sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.

“Saya percaya projek Madani ini akan dapat memberi manfaat kepada semua khususnya golongan sasar dalam menjalani kehidupan yang lebih bermakna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa.

Sementara itu, Zaliha berkata Program Residensi Madani Wilayah Persekutuan merupakan pelengkap kepada program perumahan mampu milik sedia ada iaitu Residensi Wilayah.

Beliau berkata fokusnya kali ini adalah kepada golongan sasar melibatkan kumpulan rentan dan mereka yang berpendapatan sederhana rendah dan ke bawah atau B40.

“Melalui program ini, kita telah memperkenalkan pelbagai kategori untuk penjualan dan sewaan mengikut keperluan serta berdasarkan kepada kemampuan golongan sasar tersebut.

“Permohonan juga dibuka khusus untuk warga Wilayah Persekutuan bagi yang belum pernah memiliki rumah atau first home buyer,” katanya.

Zaliha berkata unit kediaman di bawah Program Residensi Madani adalah berkeluasan minimum yang selesa di antara 700 hingga 800 kaki persegi dengan harga jualan di antara RM150,000 hingga RM200,000 seunit.

Beliau berkata projek Suria Madani hari ini adalah berharga RM200,000 seunit dengan keluasan 800 kaki per segi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas