SEMINAR Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan selama tiga hari antara salah satu usaha kerajaan memastikan pelajar-pelajar khususnya di Wilayah Persekutuan mendapat bimbingan yang sewajarnya dalam menghadapi peperiksaan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa beliau mahu melihat pelajar itu bukan sahaja lulus dengan cemerlang tetapi dilengkapi dengan nilai-nilai murni dan kemahiran insaniah yang boleh membantu dalam kehidupan pada masa akan datang.
“Pendidikan ini bukan hanya berfokus mencapai gred yang baik semata-mata, tetapi juga tentang membina karakter serta individu yang berdaya tahan, kreatif dan berintegriti.
“Sudah pasti, pendidikan ini memerlukan kerjasama semua pihak, guru-guru, ibu bapa dan komuniti selaras inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Kecemerlangan SPM tahun 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Zaliha juga mengucapkan tahniah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di atas penganjuran seminar.
Seramai 300 orang pelajar dari 76 buah sekolah yang terpilih menyertai seminar itu.
Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan pengukuhan terhadap inisiatif dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai laluan alternatif bagi pelajar yang ingin memasuki pasaran kerja dengan kemahiran teknikal yang tinggi.
“Ini adalah penting untuk memastikan bahawa setiap pelajar, tidak kira latar belakang mereka, berhak dan mempunyai peluang untuk berjaya.
“Pada Belanjawan 2024 yang lalu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6.8 bilion untuk inisiatif bidang TVET ini,” katanya.
Sementara itu, Zaliha berharap pelajar yang hadir dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan bimbingan yang diberikan.
Beliau berkata usaha yang gigih dan disiplin dalam diri pelajar adalah amat penting.
“Nak atau tak kejayaan ini perlu disertai dengan sikap positif serta usaha dan doa yang berterusan.
“Insya-Allah, dengan adanya sokongan padu daripada semua pihak seperti hari ini, saya yakin anak-anak semua akan dapat menghadapi SPM dengan lebih yakin dan bersemangat.
“Ketahuilah kejayaan anda adalah kejayaan kita semua,” katanya. – WILAYAHKU