PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh masyarakat di seluruh negara agar memanfaatkan majlis selawat dan munajat untuk meningkatkan kefahaman ilmu yang selari dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkannya.
Anwar berkata, melalui pembinaan perpaduan yang kuat, beliau yakin pendekatan tersebut dapat memperkasakan segenap aspek bagi memajukan negara seiring konsep Malaysia Madani.
“Majlis ini adalah majlis amal dan munajat. Kita berikhtiar, boleh merangka, kita boleh mengadakan strategi ekonomi, budaya dan pemerkasaan dalam pelbagai bidang tetapi kita harus bertawakal kepada Allah SWT.
“Majlis seperti ini juga…merupakan majlis munajat, berselawat dan majlis ilmu untuk kita terapkan madani. Ertinya negara ini bertamadun. Maknanya usaha perpaduan, bersatu.
“Tetapi memanfaatkan kekuatan perpaduan untuk mengangkat martabat ke arah insaniah, ekonomi, pendidikan dan sosial tetapi perkara teras atau pangkalnya adalah keyakinan kita kepada Allah SWT dan mendekatni Rasulullah SAW dengan mengingat dan berselawat.
“Sebab itu saya ambil peluang untuk meraikan dan untuk bersama serta mengajak rakan-rakan seluruh negara menjadikan majlis seperti ini majlis segar. Biar Malaysia Madani semarak umat untuk sentiasa berselawat kepada junjungan Nabi Muhammad dan menggunakan majlis ini bagi meningkatkan kefahaman ilmu kita,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Selawat dan Munajat Perdana Untuk Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.
Lebih 6,500 orang hadir dalam majlis Selawat dan Munajat Perdana Untuk Malaysia walaupun hujan lebat yang turut menampilkan tokoh-tokoh agama terkenal termasuk selebriti, Mawi. – WILAYAHKU