FESTIVAL Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) seharusnya menjadi acara tahunan kerana ia mampu menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan anak muda.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, elemen idea amat penting dalam membangunkan negara seperti yang digagaskan dalam kerangka besar Malaysia MADANI.
“Idea boleh bercambah, boleh berkecamuk, sebab itu penerimaan idea, kupasan idea sangat penting. Ini bermakna idea yang kita bicara adalah kerangka besar yang mempertahankan nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.
“Negara harus membangun dengan idea, kita ungkapkan dalam kerangka besar Malaysia MADANI, maknanya idea pembaharuan. Ada yang mengakar ke bumi iaitu jati diri bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Putrajaya FOI.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata idea yang diungkapkan dalam kerangka Malaysia MADANI membawa maksud elemen itu relevan dengan kehidupan seharian rakyat.
“Kemampanan kesemua elemen tidak membawa sebarang makna sekiranya tidak diasaskan dengan keyakinan kepada agama, erti kehidupan, kemanusiaan dan nilai luhur.
“Sebab itu idea mesti dipelopori dengan keyakinan dan seperti yang saya selalu ungkapkan, menggapai ke langit. Sebab kita mahu maju maka perlu ada matematik, kalkulus, digital, kecerdasan buatan (AI), perlu bicara soal tenaga baharu. Ini memerlukan percambahan idea.
“Jadi festival ini boleh semarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti serta daya kritikal, apa lagi dalam kalangan anak muda kerana idea tanpa tindakan ibarat pohon tidak berbuah dan idea yang dicetuskan harus tercerna dari hati nurani yang baik,” katanya.
Terdapat enam tonggak dalam kerangka Malaysia MADANI yang diperkenal pada 19 Januari 2023 iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
Mengulas lanjut mengenai manfaat Putrajaya FOI, Anwar berkata festival yang julung kali diadakan itu mampu mengajak generasi muda dan masyarakat berkongsi pandangan serta pendapat dalam pelbagai bidang.
“Bagi saya, Festival of Idea boleh mengajak anak-anak, masyarakat. Ya, boleh berbeza pendapat, boleh meluahkan, sebaiknya mencurahkan sebanyak mungkin idea, pandangan dalam bidang politik, ekonomi dan geoekonomi tetapi mesti teguh pada landasan.
“Landasan mengangkat martabat dan darjat manusia dengan memupuk nilai supaya setiap rakyat yang tua dan muda, yang tinggal di kota, desa serta pedalaman, setiap orang harus diberi penghormatan dan diiktiraf sebagai warganegara yang mulia dan diangkat martabat,” ujarnya. – WILAYAHKU