Berita

Semak SOP keselamatan penonton konsert

- Diterbit 14 Mac 2025 11:40 AM MYT

KERAJAAN dan pihak penganjur boleh mempertimbangkan pendekatan yang lebih praktikal seperti pemeriksaan secara rawak atau menggunakan kaedah saringan awal terhadap individu yang menunjukkan tanda-tanda mencurigakan ketika penganjuran konsert.

Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata melalui kaedah tersebut penganjur perlu menguar-uarkan kepada pengunjung akan adanya pemeriksaan secara rawak sekali gus ia akan menyebabkan ‘pesalah’ tidak akan melakukan perkara yang diniatkan.

“Ini boleh dilakukan dengan penglibatan pihak keselamatan yang lebih bersedia dan teknologi yang lebih cekap,” jelas beliau menyambut baik kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bahawa kerajaan bersedia meneliti prosedur operasi standard (SOP) konsert.

AMINOLHUDA

Tambahnya, insiden seperti kematian dalam konsert Pinkfish baru-baru ini menunjukkan keperluan untuk menambah baik aspek keselamatan.

“SOP yang lebih ketat tidak semestinya menyekat penganjuran konsert tetapi memastikan semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pengunjung.

“Saya memahami kebimbangan bahawa ujian air kencing mungkin dianggap merumitkan terutama jika melibatkan jumlah pengunjung yang ramai. Namun, aspek keselamatan harus menjadi keutamaan.

“Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) sebagai badan yang meluluskan penganjuran konsert sudah mempunyai garis panduan tertentu, tetapi dalam konteks insiden yang berlaku, semakan semula perlu dibuat bagi memastikan keselamatan penonton lebih terjamin,” katanya.

Tambah beliau antara aspek yang boleh diperketatkan termasuk Sistem Pemantauan dan Pengesanan Awal di mana penganjur boleh diwajibkan untuk memasang kamera keselamatan berdefinisi tinggi di lokasi strategik bagi memantau pergerakan pengunjung secara masa nyata.

“Dalam kes seperti ini, penganjur dan penguatkuasaan keselamatan kedua-duanya harus dipertanggungjawabkan. Penganjur perlu memastikan SOP keselamatan diikuti sepenuhnya, termasuk pemantauan terhadap sebarang aktiviti haram dalam kawasan konsert.

“Pada masa sama penguatkuasaan keselamatan juga perlu lebih tegas, bukan sekadar formaliti, tetapi benar-benar berfungsi untuk mencegah insiden yang tidak diingini.

“Malah, paling penting pengunjung harus mengikuti peraturan jika tidak mahu konsert tidak dibenarkan langsung di Malaysia,” tegas beliau.

Jelas Aminolhuda, walaupun terdapat insiden yang tidak diingini, namun penganjuran konsert secara menyeluruh tidak boleh terus ditolak.

“Konsert mempunyai nilai ekonomi dan sosial tertentu, tetapi ia mestilah dianjurkan dengan lebih bertanggungjawab. Jika langkah-langkah keselamatan dapat diperketatkan dan dipatuhi, penganjuran konsert masih boleh diteruskan tanpa mengabaikan keselamatan orang ramai.

“Selain itu perlu diingat bahawa industri hiburan ini melibatkan ribuan rakyat Malaysia yang bergantung kepada sektor ini untuk mencari rezeki. Pekerja seperti kru teknikal, jurutera bunyi, pencahayaan, pengurus acara, peniaga kecil, penyedia makanan, serta artis tempatan sendiri mendapat manfaat daripada industri ini.

“Sekatan atau pengharaman konsert secara total bukan sahaja akan menjejaskan punca pendapatan mereka, malah boleh memperlahankan pertumbuhan industri kreatif negara,” katanya.

Kata beliau pendekatan terbaik adalah memastikan penganjuran konsert dibuat dengan lebih ketat, teratur dan selamat tanpa perlu mengorbankan kepentingan ekonomi serta kebajikan mereka yang bergantung kepada sektor tersebut.

“Konsert bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga mempunyai manfaat lain. Ia boleh menjadi platform untuk memperkenalkan budaya seni yang lebih berkualiti, menarik pelancong, serta merangsang ekonomi tempatan melalui sektor perhotelan, makanan, dan perkhidmatan.

“Selain itu, konsert juga memberikan ruang kepada artis tempatan untuk berkembang di peringkat lebih luas,” jelas beliau.

Menurut Aminolhuda tidak dinafikan setiap kali konsert antarabangsa dianjurkan, ia sering menerima sambutan hangat, tetapi pada masa sama, isu keselamatan dan moral turut menjadi kebimbangan.

“Jika langkah pengawalan terlalu ketat atau konsert diharamkan terus, ia boleh memberi kesan kepada industri hiburan, pekerjaan dalam sektor berkaitan serta pendapatan negara melalui pelancongan.

“Justeru, pendekatan seimbang harus diambil – iaitu memastikan konsert tetap dapat dianjurkan dengan kawalan keselamatan dan peraturan yang lebih baik tanpa menjejaskan kebebasan berkarya serta kepentingan ekonomi,” katanya.

Terdahulu, beliau dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat mengemukakan soalan mengenai perancangan Kementerian Komunikasi untuk melaksanakan cadangan ujian air kencing sebagai sebahagian daripada SOP untuk pengunjung konsert bagi membendung pengambilan dadah.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor mengesyorkan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung dalam usaha mengelak sebarang pembabitan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut menyifatkan cadangan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung konsert untuk mengelak berlaku kes dadah, sebagai tidak praktikal kerana proses mengumpul serta menganalisis sampel urin mengambil masa yang lama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas