Berita

Seleweng dana sukuk: SPRM guna ACTS demi keselamatan semua pihak

- Diterbit 13 Jun 2025 2:30 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri, semalam, kerana mengesyaki wujud bilik rahsia dalam kediaman individu tersebut.

Menurut kenyataan Bahagian Komuniksi Strategik SPRM, pasukan ACTS digunakan dalam proses penggeledahan kediaman individu terbabit yang terletak di Bandar Tasik Selatan, Cheras kerana individu tersebut disyaki menyimpan senjata-senjata di dalam sebuah bilik rahsia.

“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang-barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang di kediaman individu ini.

“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, SPRM telah menyita beberapa barangan seperti beg mewah; jam tangan berjenama; jongkong, syiling dan patung emas; berlian serta barangan kemas.

Sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di kediaman individu merangkumi 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta; juga berlian serta barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta, menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, tambahnya, satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM150,000 juga telah disita.

SPRM turut menemukan sebuah bilik rahsia kebal yang merupakan tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan semalam berjumlah kira-kira RM16 juta.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.

Sehubungan itu, Azam memberitahu proses rakaman keterangan individu tersebut ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatan individu terbabit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas