Berita

Selepas rambut didandan, pelakon remaja lelaki dakwa jadi mangsa amang seksual jurusolek

- Diterbit 20 Januari 2025 5:00 PM MYT

PELAKON remaja lelaki berusia 18 tahun
mendakwa menjadi mangsa jurusolek lelaki berusia 41 tahun di sebuah salun rambut di Ayer Keroh, Melaka, Jumaat lalu.

Menurut laporan Harian Metro, kira-kira pukul 3 petang, mangsa berkunjung ke premis milik suspek untuk mendandan rambut.

Susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis dan suspek direman tujuh sehingga 26 Januari untuk siasatan mengikut 377C Kanun Keseksaan.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, perintah reman terhadap mangsa dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Katanya kejadian didakwa berlaku ketika pelakon sambilan itu ke premis terbabit selepas ditawar perkhidmatan mendandan rambut secara percuma.

“Selepas selesai mendandan rambut, suspek dikatakan menawarkan perkhidmatan baharu iaitu urutan badan dan remaja lelaki itu bersetuju memandangkan sudah lama mengenali suspek,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Md Nazri berkata, suspek bagaimanapun bertindak melakukan seks oral menyebabkan mangsa terkejut dan keluar selepas selesai urutan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh, Sabtu lalu.

Katanya, pasukan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menahan suspek di Taman Tasek Utama Ayer Keroh pada 4.30 petang semalam.

Difahamkan, mangsa adalah penuntut tahun pertama kolej dan pernah berlakon drama.

Sumber: Harian Metro

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas