Selebriti

Selebriti popular pulihkan semangat rakyat

DIANA Danielle antara selebriti yang menyanyikan lagu We Live To Give
- Diterbit 15 September 2021 9:32 AM MYT

TIDAK dinafikan pandemik COVID-19 membuatkan masyarakat dihimpit kesusahan dalam pelbagai aspek.

Baik golongan yang hidup mewah, sederhana atau miskin, semuanya terkesan dan tertekan dengan situasi ini.

Untuk itu, Universal Music Malaysia menjadikan idea itu sebagai inspirasi dengan melancarkan lagu We Live To Give yang diinyanyikan oleh selebriti popular Athalia, Diana Danielle, Shalma Eliana, Simon Webbe dan Asyraf Nasir.

Bekerjasama dengan The Giving Bank, lagu ini bertujuan memberi kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia kerana karya ini sarat dengan kata-kata perangsang.

Misalnya mendorong dalam usaha memulihkan semangat rakyat untuk tabah dan terus bersemangat.

Bagi pelakon dan penyanyi Diana Danielle, selain bantuan berbentuk makanan atau fizikal, rakyat juga mahukan kata-kata harapan demi menguatkan lagi semangat diri.

Apabila semangat pulih, kekuatan dalam diri membuatkan mereka bangkit untuk mengubah hidup ke arah lebih baik.

“Saya percaya pada kekuatan bersatu hati kerana kita dapat mempengaruhi lebih banyak kehidupan dan perubahan untuk masa depan yang lebih baik secara kolektif,” katanya.

Manakala Simon pula melihat usaha dalam memberikan semangat menerusi lagu ini adalah bentuk bantuan secara motivasi yang jauh lebih tinggi nilainya.

“Memberi melangkau nilai wang diberi. Ia juga menyalur mesej positif yang mengingatkan kita bagaimana membantu orang lain menaikkan semangat mereka serta meringankan beban ditanggung,” jelasnya.

Begitu juga dengan selebriti lain iaitu Athalia, Shalma dan Asyraf yang percaya bahawa lagu We Live To Give sarat dengan rasa cinta, hormat, harapan dan masa depan. Ia diterjemahkan mereka untuk menyebar mesej positif kepada golongan muda.

Sehubungan itu, pihak The Giving Bank terus menjadi saluran dipercayai Universal Music Malaysia untuk mewujudkan mesej mengenai pentingnya memberi keselesaan dan sokongan untuk memperkuat daya ketahanan masyarakat.

Menurut pengasas dan presidennya Dr. Janson, dia percayai niat murni itu juga mampu direalisasikan menerusi muzik.

“Sudah lama The Giving Bank mengimpikan untuk memiliki lagu sesuai bagi menggambarkan misi dan visi kami dalam membina hari esok yang lebih baik. Saya sudah dapat membayangkan ia dinyanyikan di seluruh dunia,” katanya.

Bagi memperluas mesej We Live to Give, lagu itu turut dijadikan lagu rasmi untuk kempen amal seterusnya di saluran radio popular, HITZ FM dan MIX FM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas