Berita

Selangor jadi platform lonjakan Ekonomi Digital ASEAN-Gobind

- Diterbit 3 Julai 2025 7:00 PM MYT

USAHA memperkasa ekosistem digital negara mendapat suntikan baharu menerusi pelancaran Program Pemacu Kembar Selangor 2025 (Selangor Twin Accelerator Programme 2025) yang menyaksikan kolaborasi mantap antara sektor awam, swasta dan pemain industri global.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata program yang menggabungkan Deep Tech Accelerator (Deep-X) dan Retail Tech Accelerator (Retail-X) ini mencerminkan keyakinan kerajaan bahawa inovasi harus bersifat inklusif dan disokong oleh akses, bimbingan serta peluang pertumbuhan sebenar.

“Perjalanan menjadi negara digital terkemuka bermula dengan rakyat kita, pengasas, PKS dan pembina ekosistem. Inilah yang ditawarkan oleh SIDEC hari ini,” katanya dalam ucapan pelancaran rasmi di Asia School of Business (ASB) di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris; Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping; dan Ketua Perniagaan Digital dan Pemasaran (Perbankan Perusahaan Kumpulan) Affin Bank Berhad, Boon Kim San.

Gobind menjelaskan bahawa Retail-X memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor runcit yang ingin memodenkan operasi mereka melalui teknologi seperti jualan langsung dalam talian (livestream), automasi dan analitik data, manakala Deep-X memacu pembangunan syarikat pemula (startup) berasaskan teknologi mendalam seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan lanjutan dan sains data.

“Digitalisasi bukan lagi satu pilihan ia adalah satu keperluan. Dengan penyertaan rakan strategik seperti TikTok Shop, Plug & Play APAC, Xendit, Shopline, AEON, Cradle dan DHL, kita bukan sekadar bantu PKS ‘go digital’, malah bantu mereka berkembang, bersaing dan unggul di pasaran digital,” katanya.

Beliau menambah, Deep-X pula memberi tumpuan kepada masa depan teknologi negara, terutamanya dalam sektor AI, mobiliti pintar, bioteknologi dan kelestarian, yang kini menjadi tunjang industri global masa depan.

“Apa yang menggalakkan, kita tidak sekadar bercakap sebaliknya kita melatih bakat, membiayai inovasi dan membuka akses kepada platform global seperti Plug and Play di Silicon Valley,” tegasnya.

Dalam pada itu, Gobind memuji kerajaan negeri Selangor atas komitmen yang konsisten dalam memacu industri teknologi, termasuk melalui penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM).

“Selangor tidak menunggu masa depan Selangor sedang membinanya, dan memastikan tiada yang tertinggal,” ujarnya.

Beliau berkata, Kementerian Digital sedang meneliti dasar dan rangka kerja baharu bagi menyokong keusahawanan berasaskan AI, menggalakkan inovasi terbuka serta mempercepat penggunaan teknologi merentas sektor.

“Kita sedang meneliti insentif baharu, merapatkan jurang dasar dan memperkukuh infrastruktur data supaya ekosistem inovasi Malaysia dapat bersaing secara global,” katanya.

Gobind turut merakamkan penghargaan kepada semua pengasas syarikat pemula serta rakan kongsi strategik yang terus menyokong usaha memperkasa ekonomi digital negara.

“Setiap prototaip, setiap padang idea, setiap kejayaan – membentuk wajah Malaysia masa depan yang sedang kita bangunkan bersama,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SIDEC atas kejayaan menganjurkan program ini dan menyatakan keyakinan bahawa generasi baharu startup Malaysia dari sektor runcit mahupun teknologi mendalam akan terus muncul sebagai pemacu utama kemajuan negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas