MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini menitipkan pesanan kepada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata demikian selepas memenuhi undangan Badan Pemuafakatan Pendidikan (MUAFAKAT) MARA Malaysia ke Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin Perdana SPM 2024 MRSM Se-Malaysia di Masjid Negara.
“Sebagai alumni MRSM dan ahli Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (Ansara) Malaysia, saya titipkan beberapa pesan kepada anak-anak MRSM yang akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi,” katanya di Facebook.
Menurut Zaliha, dalam ucapan perasmiannya, beliau menyinggung untuk pelajar itu beri fokus kepada pelajaran dan manfaatkan setiap peluang untuk berinovasi serta berbakti kembali kepada masyarakat.
“Saya tekankan bahawa kejayaan bukan sekadar terletak pada angka yang tertera di atas slip peperiksaan semata-mata.
“Dalam dunia yang semakin kompleks ini, kemahiran seperti komunikasi yang efektif, pemikiran yang kreatif dan kritis, serta keupayaan beradaptasi dengan perubahan antara yang menjadi aset tidak ternilai untuk seseorang individu,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha juga mengingatkan kepada pelajar tersebut, jika mereka terpilih untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, kembalilah semula berbakti kepada negara.
Beliau berkata ini sebagai timbal balik kepada kerajaan, melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah memberikan ruang pengajian yang berkualiti kepada mereka.
“Saya doakan agar anak-anak ini diberi ketenangan hati, ketajaman fikiran dan kesihatan yang baik dalam menghadapi peperiksaan SPM yang bakal tiba tidak berapa lama lagi.
“Semoga setiap usaha mereka dipermudahkan, setiap langkah mereka diberkati dan setiap doa dimakbulkan oleh Allah,” katanya. – WILAYAHKU