Berita

Sekurang-kurangnya 4 maut, taufan Laura badai Selatan Amerika Syarikat

Kagoshima prefecture
- Diterbit 28 Ogos 2020 4:44 AM MYT

SEKURANG-KURANGNYA empat orang maut akibat taufan Laura yang membadai Louisiana dan Texas, selatan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua memetik media tempatan.

Mangsa yang maut itu termasuk seorang remaja 14 tahun selepas rumahnya dihempap pokok tumbang, kata Gabenor Louisiana John Bel Edwards.

Beliau memberi amaran jumlah korban mungkin meningkat memandangkan misi mencari dan menyelamat masih berjalan, membabitkan ribuan pegawai tempatan, negeri dan persekutuan.

Menurut akhbar tempatan The Advocate, kapal pelayaran yang menempatkan kasino turut hanyut dan tersangkut di bawah Jambatan Tasik Charles di barat Louisiana, menyebabkan penutupan lebuh raya.

Kebakaran turut berlaku di sebuah kilang gas klorin di daerah itu.

Selain itu, lebih 600,000 rumah dan perniagaan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Jabatan Kesihatan Louisiana mengatakan sekurang-kurangnya 67 sistem air “tidak dapat digunakan,” mengakibatkan lebih 200,000 penduduk bakal mengalami gangguan bekalan air bersih.

Gabenor Texas Greg Abbott pada Khamis berkata bandar Orange di timur Texas turut mengalami kemusnahan yang teruk akibat ribut.

Ribut itu membadai Cameron Parish, Louisiana kira-kira 1 pagi Khamis, menjadikannya taufan paling kuat pernah melanda Louisiana dalam tempoh 150 tahun.

Taufan kategori empat itu mencetuskan hujan lebat dan angin kencang, maksimum 240 kilometer sejam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas