SEBUAH badan bukan kerajaan (NGO) semalam membuat satu laporan polis berhubung ucapan kebencian pemimpin PAS terhadap Kerajaan Madani pada Muktamar PAS ke-70 di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) melalui ketuanya, Shahbudin Embun berkata, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan segera memandangkan ucapan para pemimpin parti pembangkang itu dibimbangi boleh memberi kesan kepada kestabilan politik negara.
“Kami membuat satu laporan polis selepas melihat ucapan pemimpin PAS dalam muktamar yang bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia tetapi mendapat perhatian daripada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution).
“Beliau (Saifuddin) mengeluarkan kenyataan sebanyak tiga muka surat (menegur) pemimpin PAS kerana menggunakan muktamar untuk menghina, memfitnah dan membenci kerajaan,” katanya pada sidang medianya.
Sementara itu, Shahbudin berkata, ucapan Presiden PAS, Hadi Awang menerusi muktamar tahunan ini juga perlu disiasat kerana dianggap keterlaluan.
Katanya, kenyataan pemimpin PAS itu diyakini ada kaitan dengan ucapan hasutan yang dibimbangi boleh mempengaruhi rakyat.
“Ucapan Hadi dalam Muktamar PAS adalah keterlaluan, kami tidak pernah melihat dalam mana-mana persidangan parti lain membuat begitu, hanya membincangkan isu-isu dasar dan masa depan parti.
“Tetapi PAS menggunakan muktamar untuk memanipulasikan fakta. Oleh itu saya gesa agar pihak berkaitan menyiasat ucapan sebegini,” katanya.
Pada 17 September lalu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hanya unsur cacian, kebencian, dan angan-angan dihidangkan pemimpin PAS dalam ucapan serta resolusi sepanjang lima hari berlangsungnya Muktamar PAS ke-70.
Saifuddin yang juga menteri dalam negeri turut menyifatkan muktamar itu sebagai rakaman sejarah yang menjadi medan kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca, dan memaki hamun di bawah pimpinan Hadi.
Beliau berkata, parti ditubuhkan pada 1951 itu telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal diasaskan tokoh seperti Zulkifli Muhammad, Burhanuddin al-Helmi, Fadhil Noor, Yusuf Rawa, dan Nik Abdul Aziz Nik Mat. – WILAYAHKU