Berita

Sekolah Seni Malaysia menang besar di 42nd International Competition and Folklore, Dance, and Music Festival

- Diterbit 9 November 2024 3:31 PM MYT

SEKOLAH Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSMKL) meraih kemenangan besar di acara 42nd International Competition and Folklore, Dance, and Music Festival “Prague Stars” (Autumn) 2024.

Pertandingan yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 3 November lalu di Prague, Republik Czech itu menyaksikan penyertaan dari lebih 50 kumpulan seluruh dunia antaranya Slovakia, Ukraine, Romania, Bosnia, Republic Czech dan banyak lagi.

Bagi kategori Folklore Dance Art, Muhammad Nazhan Nasir yang mempersembahan karya tari bertajuk Kenyalang meraih Champion untuk kategori solo.

Bagi kategori duet pula, Muhammad Nor Danish Amani dan Nur Aireen Hannani pula muncul Champion menerusi karya tari Kuda Pacu.

Kumpulan Pewaris Seni Anak Tari yang diwakili enam pelajar pula muncul Champion bagi kategori Ensemble Group.

Kemenangan itu sekaligus meraih perhatian juri profesional dan melayakkan SSMKL merangkul anugerah tertinggi Grand Prix Award ‘Outstanding Performance’ di antara semua delegasi yang bertanding.

Kegigihan dan semangat ditonjolkan sembilan pelajar bidang tari di bawah gabungan dan bimbingan Jurulatih Seni Tari, SSMKL, Mohamad Shahfik Abd Aziz dan Nur Arziana Md Sakek, dalam mempertaruhkan tarian rakyat dan etnik Malaysia ternyata memberikan kemenangan besar sekaligus menyuntik semangat yang tinggi dalam mengangkat karya seni tari di persada antarabangsa.

Turut hadir ke pertandingan itu adalah Duta Besar, Kedutaan Malaysia Prague, Suzilah Mohd Sidek dan Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia Prague, Kementerian Luar Negeri, Amirul Zaki.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas