Selebriti

Sedia timang cahaya mata

SYAFIQ dan Mimi kini menjalani fasa berbulan madu dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.
- Diterbit 23 Mei 2025 10:24 PM MYT

TIGA bulan melayari bahtera perkahwinan, pelakon jelita Mimi Lana tidak berselindung mengakui dia dan suami, Syafiq Kyle sudah bersedia menimang cahaya mata.

Biarpun usia perkahwinan yang masih lagi dikira dalam fasa bulan madu, namun dia dan Syafiq sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Orang paling teruja kata Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin adalah suaminya yang katanya setiap hari akan bercakap mengenai nama anak.

“Kami sudah berkahwin jadi semestinya ada perancangan untuk memiliki cahaya mata. Kami sedang berusaha dan sekiranya ada rezeki, adalah.

“Saya tak mahu tunggu kerana sudah sangat bersedia untuk mempunyai anak.

“Syafiq lagilah bersedia, setiap hari dia akan cakap mengenai nama anak,” kata Mimi yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi Echapper Vc V2 jenama FILA di Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Menurut bintang filem The Experts itu dia tidak mahu menunggu sehingga kerja-kerjanya selesai barulah akan memikirkan soal menambah keturunan.

Katanya sampai bila pun kerja tidak akan habis, justeru andai ditakdirkan rezeki mendapat zuriat dipermudahkan, dia menerimanya dengan penuh kesyukuran.

“Kalau tunggu selesai penggambaran memang takkan habis. Macam dulu kalau tunggu habis penggambaran alamat memang tak kahwin.

“Jadi saya serahkan pada rezeki, jika ia sampai awal saya sangat bersyukur. Tak mahu tunggu lagi, doakan saya,” katanya.

Berkongsi kehidupan sebagai isteri, Mimi berkata hidupnya kini lebih bahagia.

Biarpun tanggungjawab semakin bertambah, tetapi Mimi seronok menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

“Alhamdulillah saya gembira dengan kehidupan baru yang lebih baik ini. Syafiq seorang suami yang baik. Walaupun kami sudah kenal selama 10 tahun tetapi bila tidur sebantal, saya jadi lebih kenal dia. Memang ada perubahan tetapi perubahan yang ditunjukkan lebih terarah kepada positif.

“Sekarang ini tanggungjawab juga bertambah, bila bangun pagi selain diri kita ada orang lain lagi yang perlu difikirkan,” katanya.

Mimi Lana sah bergelar isteri kepada Syafiq Kyle pada 14 Februari lalu dalam satu majlis tertutup di Taiping, Perak.

Sebelum ini, Mimi dan Syafiq pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun. Mereka pernah membatalkan majlis pernikahan di saat akhir yang dijadualkan pada 18 Ogos 2023. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas