Selebriti

Sebar aura positif

- Diterbit 20 September 2024 4:30 PM MYT

BERGELAR seorang pempengaruh bukanlah mudah kerana apa sahaja yang dilakukan pasti menjadi ikutan. Jika perkara yang disebarkan membawa aura positif maka banyaklah manfaat berguna yang dapat membentuk masyarakat.

Tidak dinafikan juga ada segelintir pempengaruh yang menggunakan media sosial untuk berkongsi perkara yang tidak berfaedah namun di sebalik itu, kita juga boleh berasa bangga apabila masih ramai golongan ini yang mempamerkan contah yang baik.

Bersama Wilayahku kita dekati barisan selebriti dan pempengaruh seperti Nadia Brian, Johan As’ari dan Aleeya Zailan yang sering menyebarkan kebaikan. Jadi, sebagai pengguna media sosial, anda perlu bijak buat pilihan ikut yang baik atau buruk.

 

SUARAKAN KEZALIMAN ISRAEL

NADIA Brian

SELEBRITI jelita, Nadia Brian antara artis yang tidak pernah berhenti menggunakan media sosialnya dalam menyuarakan kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin. Berbekalkan pengikut hampir sejuta di Instagram dan lebih 426,000 di TikTok, Nadia menggunakan kelebihan itu untuk terus membela saudara Islam di Palestin.

“Apa pun yang berlaku, di mana pun saya berada, sibuk macam mana pun, saya tetap tidak lupa membuat hantaran atau status berkenaan Palestin. Saya tak boleh lupa penderitaan Palestin yang sentiasa dalam hati dan fikiran saya.

“Mungkin saya tak berpeluang untuk pergi berperang, jadi saya sentiasa gunakan media sosial untuk mengajak orang ramai terus mendoakan Palestin. Itulah jihad saya.

“Alhamdulillah, apabila bersuara menerusi media sosial, ramai yang turut bersemangat dan berkobar-kobar menyebarkan apa sahaja tentang Palestin selain terus berdoa,” ujarnya.

Menurut Nadia, dia sering memuat naik status berkaitan Palestin agar para pengikutnya tidak melupakan kezaliman yang berlaku di sana.

“Kita boleh lakukan demi perjuangan untuk Palestin mengikut kemampuan kita. Teruskan berdoa sebanyak mungkin untuk saudara kita di Palestin. Selain doa Qunut nazilah, berdoalah bersama keluarga, agar anak-anak diajar erti persaudaraan sesama Islam,” ujar Nadia.

 

AMALAN MEMASAK JADI INSPIRASI

ALEEYA Zailan

PEMPENGARUH terkenal yang juga ahli perniagaan, Aleeya Zailan menjadi contoh atau ikutan yang baik apabila sering bersedekah melalui masakannya.

Pada Hari Raya Aidiladha yang lalu, Aleeya juga menyumbangkan 200 kilogram daging korban dengan mengorbankan dua ekor lembu sado kepada orang ramai.

Selain celotehnya yang menceriakan dan penuh nasihat ketika siaran langsung memasak, amalan sedekah  dan pemurah Aleeya menjadi inspirasi buat hampir 600,000 pengikut di Instagram dan 1.2 juta di TikTok.

“Netizen selalu tanya saya kenapa masak banyak-banyak dan sering bersedekah terutamanya berkaitan makanan. Mereka selalu tanya kenapa rajin sangat sediakan hidangan meriah seperti lauk kenduri.

“Saya akui pernah hidup susah dulu. Rasa terliur bila tengok seronoknya orang lain dapat makan. Jadi niat saya mahu berkongsi rezeki yang ada dengan orang sekeliling seperti jiran, pekerja dan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, saya telah diberikan rezeki yang lebih oleh Allah dan itu membuatkan saya tak pernah berkira dengan orang sekeliling lebih-lebih lagi soal makanan. Apa yang saya makan, itulah yang pekerja saya makan,” katanya.

Aleeya turut mengakui mempunyai pekerja yang ramai menguatkan semangatnya untuk memasak.

“Kalau ikutkan, biasanya orang masak untuk keluarga sajalah, tapi saya tak macam tu. Sebenarnya, bersedekah dan berkongsi makanan ini amalan yang dituntut dalam agama kita. Selain ia mampu merapatkan silaturahim, ia sebenarnya antara cara kita bersyukur apabila berkongsi rezeki yang ada dengan orang lain,” tambahnya.

GALAK NETIZEN MENGAJI

JOHAN As’ari

PELAKON Johan As’ari, dikagumi ramai apabila gemar memuat naik video dan membuat live membaca ayat-ayat suci Al-Quran buat tatapan 100,000 pengikutnya di laman Instagram dan lebih 300,000 di TikTok.

Johan atau nama penuhnya Johan Ariff As’ari berkata mengaji adalah salah satu terapi dirinya dan sekali gus perkara baik yang dapat menarik minat golongan muda membaca kitab suci itu.

“Membaca Al-Quran merupakan satu terapi buat diri saya sejak dari dulu lagi. Saya suka berkongsi bacaan dengan semua orang kerana pahala mereka yang mendengar sama saja dengan pahala orang yang membacanya.

“Mungkin ada netizen yang tidak sempat membaca Al-Quran kerana sibuk namun sekurang-kurangnya mereka boleh mendengar bacaan saya. Lagi pula mendengar bacaan ayat suci disifatkan sebagai santapan rohani  yang berkesan dalam membersihkan dan menyinarkan jiwa setiap insan,” katanya.

Menurut Johan, ini merupakan cara yang digunakan olehnya melalui media sosial untuk mengajak masyarakat melakukan kebaikan.

“Manusia hanya akan beroleh ketenangan sekiranya fitrah atau rohaninya terisi, subur dan sihat. Al-Quran ibarat penawar buat hati dan fikiran yang nescaya mampu memberikan ketenangan untuk hidup di dunia serta kebahagiaan di akhirat.

“Kalau rasa stres, serabut atau tak gembira, bacalah Al-Quran. Percayalah hati pasti tenang. Bukan itu sahaja, setiap satu huruf yang dibaca dikurniakan pahala,” ujarnya.

Tambahnya, Allah SWT memberikan pahala  yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran. Malah, Baginda SAW turut berpesan, Al-Quran adalah sumber bagi banyak kebaikan kerana ia membekalkan pahala yang melimpah.

“Saya yakin, pasti ramai sedar dan tahu akan kelebihannya. Jadi bagi mereka yang tak sempat baca, boleh dengar saya baca Al-Quran dalam media sosial,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas