Berita

Sebahagian Pejabat LHDN di Pusat Bayaran Kuala Lumpur ditutup sementara untuk sanitasi

perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaksanakan dengan kaedah yang disusun mengikut kesesuaian.
- Diterbit 31 Disember 2020 6:49 AM MYT

SEBAHAGIAN pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Pusat Bayaran Kuala Lumpur akan ditutup sementara mulai hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja sanitasi.

LHDN dalam kenyataan media hari ini memaklumkan penutupan sementara itu tidak melibatkan kaunter Pusat Bayaran Kuala Lumpur yang berada di tingkat bawah.

“Kaunter ini akan beroperasi seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi memberi ruang kepada semua pelanggan yang ingin melunaskan tanggungjawab sebagai pembayar cukai,” katanya.

Menurut agensi itu, waktu operasi kaunter bagi urusan bayaran tunai ialah setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 1 tengah hari manakala bagi urusan bayaran selain tunai, iaitu cek, draf bank, kiriman wang dan wang pos, akan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat mulai 8 pagi hingga 4.30 petang.

LHDN turut mengingatkan semua pelanggan yang datang berurusan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas