Berita

Scammer guna nama YDP Dewan Rakyat untuk pinjam wang

- Diterbit 27 Mac 2025 4:33 PM MYT

YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi peringatan keras kepada orang ramai mengenai satu penipuan yang sedang berlaku di mana individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan nombor telefon bimbit beliau untuk memperdayakan mangsa-mangsa di seluruh Malaysia.

Menurut Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, scammer tersebut telah menghantar mesej kepada ramai individu, mendakwa bahawa Tan Sri memohon untuk meminjam wang.

“Ingin ditegaskan bahawa ini adalah satu penipuan dan Tan Sri sama sekali tidak terlibat dalam sebarang permintaan sedemikian,” tegasnya dalam kenyataan.

Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan, kepada sesiapa yang telah membuat pemindahan wang ke nombor akaun yang diberikan oleh penipu tersebut, mereka diminta untuk segera membuat laporan polis.

“Sila hantar salinan laporan polis dan resit transaksi ke Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Jalan Parlimen, 50680 Kuala Lumpur

“Kami menggesa orang ramai untuk berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mesej yang mencurigakan. Sekiranya anda menerima mesej seumpama ini, sila abaikan dan laporkan kepada pihak berkuasa dengan segera,” katanya.

Jelasnya, untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Setiausaha Akhbar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Shaira Amira Jamal Abdul Nasir di 03-26017462. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas